Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal membangkitkan penggunaan hampir keseluruhan pendapatan kasar yang diperolehi KWSP pada tahun lalu untuk pembayaran dividen.
Bagi tahun lalu, KWSP mencatatkan pendapatan pelaburan sebanyak RM74.46 bilion, manakala jumlah agihan dividen pula sebanyak RM73.24 bilion, iaitu RM63.05 bilion untuk simpanan konvensional dan RM10.19 bilion untuk simpanan shariah.
Menurut Wan Ahmad Fayhsal, kadar dividen 6.30 peratus untuk kedua-dua simpanan konvensional dan shariah yang diumumkan KWSP Sabtu lalu sebagai tidak sesuai kerana menggunakan hampir keseluruhan pendapatan kasarnya.
"Hampir keseluruhan pendapatan KWSP tahun lalu dibayar sebagai dividen berjumlah RM73.24 billion.
"Pemuda PH patut tanya, kenapa agaknya KWSP sanggup beri dividen yang tinggi kali ini? Ini di luar kebiasaan.
"Saya nak tanya juga, apakah mungkin kerana kritikan pembangkang yang semakin kuat ke atas pengurusan KWSP menyebabkan mereka cuba menenangkan para pencarum? Itu soalan kami kepada KWSP," katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.
Sebagai perbandingan, jumlah pendapatan pelaburan KWSP pada 2023 adalah RM66.99 bilion, manakala jumlah agihan dividen pada tahun tersebut adalah RM57.81 bilion.
Sebelum ini, Naib Ketua Pemuda Amanah Ammar Atan mendesak Wan Ahmad Fayhsal dan Presiden MCA Wee Ka Siong menarik balik tuduhan yang KWSP berada dalam keadaan kritikal dan akan memberi dividen rendah pada tahun ini.
Ammar membuat gesaan itu selepas KWSP mengumumkan kadar dividen 6.3 peratus untuk 2024, iaitu kadar tertinggi dalam tempoh tujuh tahun.
Mengulas lanjut, Wan Ahmad Fayhsal menafikan tuduhan Ammar yang dia cuba menimbulkan kegusaran berkenaan perkara itu.
"Kalau betul saya dan MP Ayer Hitam (Wee) salah dan telah memfitnah, saya cabar Pemuda PH saman saya dan MP Ayer Hitam segera mungkin," katanya lagi.