Seorang pejalan kaki warga emas maut dirempuh sebuah kereta di Jalan Abdul Rahman di Muar malam tadi.
Ketua Polis Daerah Muar, ACP Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata pihaknya menerima panggilan berkaitan insiden membabitkan lelaki berusia 82 maut dilanggar sebuah kereta itu pada kira-kira 9.40 malam.
“Kejadian dipercayai berlaku apabila kereta yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 45 tahun sedang bergerak menghala ke arah Taman Aman.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta berkenaan telah terlanggar seorang pejalan kaki yang melintas secara tiba-tiba. Akibat pelanggaran itu mangsa tercampak ke cermin hadapan kereta sebelum terjatuh ke jalan raya.
“Warga emas itu mengalami kecederaan dalaman dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
-Bernama