Seramai 70 calon akan bertanding dalam pemilihan DAP yang dinanti-nantikan ramai dan berlangsung pada 16 Mac ini.
Dalam sidang media hari ini, Setiausaha Organisasi DAP, Steven Sim, mengumumkan butiran kongres kebangsaan ke-18 parti itu dan pemilihan jawatankuasa eksekutif pusat (CEC).
Menurut senarai calon yang dikeluarkan oleh Sim, sebahagian besar ahli CEC semasa akan mempertahankan jawatan masing-masing.
Antaranya termasuklah setiausaha agung, Anthony Loke; pengerusi kebangsaan, Lim Guan Eng; timbalannya, Gobind Singh Deo; serta tiga naib pengerusi iaitu Nga Kor Ming, Chow Kon Yeow, dan Sim sendiri.
Dalam kalangan ahli CEC sekarang, hanya Tan Kok Wai, Fong Kui Lun, M Kulasegaran, dan Jannie Lasimbang tidak bertanding.
Tan, Fong, dan Kulasegaran memang sudah menyatakan keputusan untuk menarik diri daripada pertandingan CEC.
Sim berkata DAP tidak menolak sebarang pencalonan yang diterima, namun semua nama yang tersenarai diberi masa sehingga dua minggu untuk membuat pertimbangan dan menarik diri secara sukarela jika mahu.

Kongres DAP tahun ini akan berlangsung pada 16 Mac di Pusat Konvensyen Ideal di Shah Alam.
"Kongres ini akan mempunyai 4,203 perwakilan yang layak dari 1,650 cawangan," kata Sim.
Tambahnya, Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan pemimpin lain daripada parti sekutu PH juga akan menghadiri majlis tersebut.
Baca: PANDUANKINI | 'Hantar dewa pulang': Apa itu gerakan anti-Guan Eng
DAP melaksanakan pemilihan CEC secara dua peringkat.
Pertama, perwakilan dari seluruh negara terlebih dahulu memilih 30 ahli untuk dilantik menyertai CEC dengan sekurang-kurangnya sembilan daripada calon itu mestilah wanita seperti yang dikehendaki oleh perlembagaan parti.
Selepas pusingan pertama, 30 ahli CEC yang baru dipilih akan bersidang pula dan mengundi secara dalaman bagi memilih individu yang memegang jawatan parti, termasuk setiausaha agung yang menjadi jawatan tertinggi dalam DAP.
Kedudukan setiausaha agung adalah setaraf dengan peranan presiden dalam parti lain.
Oleh itu, mana-mana pemimpin yang bercita-cita untuk jawatan tertinggi DAP mesti memastikan kedua-dua diri sendiri dan sekutu mereka memperoleh undi yang mencukupi pada pusingan pertama agar berpeluang lebih besar dalam pelantikan dalaman.