malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
PMO nafi taklimat harian untuk ganti tugas Fahmi Fadzil
Diterbitkan:  Mar 3, 2025 11:39 AM
Dikemaskini: 4:19 AM
ADS

Pejabat Perdana Menteri (PMO) menafikan dakwaan bahawa taklimat hariannya akan bertindih dengan tugas Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil selaku jurucakap kerajaan.

Sebaliknya, setiausaha akhbar kanan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Tunku Nashrul Abaidah berkata, taklimat harian itu sebagai pelengkap kepada tugas Fahmi.

“Taklimat harian PMO memberi tumpuan kepada perkembangan harian dan gerak kerja perdana menteri, penjelasan beliau mengenai isu-isu semasa yang mendesak, serta arahan-arahan kepada kementerian dan agensi untuk memastikan dasar kerajaan dilaksanakan dengan tersusun dan berkesan.

"Manakala peranan Fahmi selaku jurucakap kerajaan Madani bertanggungjawab untuk memastikan segala penjelasan isu dan persoalan berhubung dasar-dasar kerajaan, serta keputusan yang dibuat di dalam mesyuarat jemaah menteri dimaklumkan kepada rakyat," kata Nashrul dalam taklimat pertama pagi tadi.

Dia menambah bahawa ia adalah strategi yang lebih menyeluruh bagi memastikan rakyat mendapat maklumat yang tepat di samping mencantas fitnah dan maklumat palsu dengan pantas dan berkesan.

Taklimat itu akan disiarkan secara langsung di media sosial pada jam 11 pagi dan 5 petang setiap hari, tanpa penyertaan sebarang media.

Masih tidak jelas sama ada taklimat PMO itu akan menggantikan peranan Jabatan Komunikasi Masyarakat (J-Kom) atau sebaliknya.

Pada 18 Jan lalu, Ketua Pengarah J-Kom yang baharu dilantik, Ismail Yusop berkata pihaknya akan mengambil langkah membina untuk memastikan maklumat tepat sampai kepada rakyat sambil berikrar tindakan lebih keras terhadap berita palsu.

Terdahulu, Anwar dilaporkan bersetuju untuk memperkenalkan Taklimat Ha­rian PMO yang disiarkan secara langsung sebanyak dua kali setiap hari menerusi akaun Facebook rasminya dan PMO.

Usaha itu dilakukan bagi memastikan rakyat menerima maklumat yang tepat dan sahih secara terus daripada sumber rasmi.

Dalam taklimat pertama hari ini, Nashrul mengulangi pendirian Anwar bahawa Rang Undang-undang Perkhidmatan Parlimen yang akan dibahaskan di Dewan Rakyat esok akan membantu memastikan Parlimen boleh beroperasi secara bebas.

Setiausaha akhbar kanan itu juga mengulangi bahawa Anwar sedang memantau keadaan bekalan beras tempatan dengan teliti, dan bahawa Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan telah diarahkan untuk menyegerakan usaha pemulihan dan memberi maklumat terkini secara berkala kepada orang ramai.

“Insya-Allah pemulihan bekalan ini sedang dilaksanakan secara berfasa,” katanya.

Media pada Sabtu lepas melaporkan KPKM memaklumkan Pasukan Petugas Khas Bersepadu Operasi BPT mendapati punca kekurangan bekalan beras putih tempatan (BPT) adalah disebabkan masalah struktur harga belian padi, kos pengeluaran beras dan harga siling BPT.

Selain itu kementerian memaklumkan ia juga disebabkan oleh tiada peruntukan khusus mengenai larangan percampuran beras dalam Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen