Perdana Menteri Anwar Ibrahim melahirkan rasa syukur atas peningkatan prestasi badan-badan penguatkuasaan dalam aspek penguatkuasaan.
Antaranya, dia menamakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Jabatan Audit Negara, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam aspek penguatkuasaan.

“Alhamdulillah, saya lihat badan-badan ini menjalankan tugas dengan lebih mantap. Kerajaan, termasuk Jemaah Menteri, Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan barisan tertinggi dalam perkhidmatan awam memberikan dukungan sepenuhnya.
“Jika ada ruang untuk menambah baik, kita akan perbaiki. Saya sering mengingatkan bahawa walaupun kita rasa telah melakukan sesuatu dengan baik, kita mesti sedar masih ada ruang untuk peningkatan,” katanya yang dipetik Bernama ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya hari ini.
Anwar menegaskan semangat untuk terus memperbaiki pentadbiran ini selari dengan ajaran Islam, merujuk kepada hadis Nabi Muhammad SAW mengenai kecekapan dan usaha berterusan untuk mencapai kecemerlangan.
Kerajaan komited teruskan agenda reformasi institusi
Turut hadir dua Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi dan Fadillah Yusof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar.

Sementara itu, Anwar juga berkata, kerajaan komited untuk meneruskan agenda reformasi institusi dengan melaksanakan perubahan, bagi menjamin ketelusan dan kecekapan dalam pengurusan kewangan serta pentadbiran awam.
Memberi contoh mengenai beberapa perubahan yang telah dilakukan kementerian kewangan, Anwar yang juga menteri kewangan berkata kementerian itu telah memperkenalkan Akta Tanggungjawab Fiskal (FRA) yang menuntut pelaksanaan disiplin fiskal yang ketat.
“Bunyinya mudah tetapi tidak mudah, kerana apa yang kita janjikan berkaitan pengurangan defisit atau belanjawan mesti dilaksanakan.
“Tidak semua negara sanggup melakukannya, kerana ia memerlukan tekad politik yang kuat serta iltizam untuk melakukan reformasi sebenar,” katanya.
Selain itu, perdana menteri berkata pelaksanaan Akta Perolehan Kerajaan pula yang bertujuan memastikan proses dan prosedur tender serta perolehan kerajaan akan kekal dipatuhi, walaupun berlaku perubahan dalam pentadbiran.

“Kerajaan boleh bertukar-ganti tapi akta itu kekal...proses tender dan perolehan kerajaan itu mesti dipatuhi,” katanya lagi.