GLOBAL l Volodymyr Zelenskyy menolak desakan beberapa pemimpin Amerika Syarikat (AS) yang merupakan sekutu Presiden Donald Trump supaya dia meletakkan jawatan sebagai presiden Ukraine.
Komennya itu dibuat selepas beberapa pemimpin Republikan termasuk senator Lindsay Graham dan speaker Mike Johnson mencadangkan dia berundur susulan kedua-dua pemimpin itu saling ‘bertelagah’ di Pejabat Oval, Rumah Putih, Jumaat lalu.

Zelenskyy dipetik berkata demikian oleh Sky News selepas pertemuan dengan Perdana Menteri United Kingdom (UK), Keir Starmer semasa satu sidang kemuncak di London semalam.
Sementara itu, AFP melaporkan pada sidang itu, pemimpin Eropah memperkukuh sokongan mereka kepada Ukraine dengan ikrar untuk meningkatkan perbelanjaan keselamatan dan membentuk pakatan bagi menyokong sebarang usaha damai sementara di Ukraine.
Presiden Perancis, Emmanuel Macron, dalam satu temubual dengan akhbar negara itu berkata pihaknya bersama Britain mahu mencadangkan gencatan senjata separa selama sebulan.
Syor itu selepas berlangsung perbincangan selama dua hari yang menghimpunkan 18 pemimpin Eropah, rentetan ketegangan antara Trump dengan Zelensky.

Sidang kemuncak di London berlaku pada saat genting bagi Ukraine yang sedang berhadapan dengan sokongan tidak menentu AS, serta mengalami tekanan dalam perang tiga tahun menentang Russia.
Starmer dan Macron turut menyatakan mereka bersedia menghantar tentera masing-masing ke Ukraine bagi membantu mengekalkan usaha damai.
Ia susulan pertelagahan antara Trump dan Zelensky sehingga menimbulkan persoalan baru mengenai komitmen AS terhadap Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
"Ini bukan masanya untuk mengadakan lebih banyak perbincangan. Ini masa untuk bertindak. Masa untuk bangkit, memimpin dan bersatu di sekeliling pelan baharu bagi mencapai keamanan yang adil dan berkekalan.
"Tanpa jaminan pembabitan AS, Eropah mesti memikul tanggungjawab utama," kata Starmer sambil menyifatkan Eropah kini berada di persimpangan sejarah.

Malah, katanya, beberapa negara bersedia untuk menyokong syor pelaksanaan gencatan senjata, namun beliau tidak menyebut secara spesifik negara terbabit.
Sebelum ini, pertelagahan antara Trump dengan Zelensky mendapat perhatian seluruh dunia.
Trump menyifatkan pemimpin Ukraine itu sebagai ‘kurang ajar’ sehingga Zelensky meninggalkan Rumah Putih tanpa menandatangani sebarang perjanjian awal mengenai perkongsian hak mineral antara Kyiv dan Washington.
Zelensky ketika pertemuan berkenaan cuba meraih ‘simpati’ AS dengan menyatakan Kyiv masih memerlukan jaminan keselamatan jika mahu negara itu mengadakan rundingan damai dengan Moscow.
Bagaimanapun, 10 minit terakhir daripada pertemuan hampir 45 minit itu bertukar menjadi perdebatan tegang antara Trump, Zelensky dan Naib Presiden AS, JD Vance.
Menurut laporan AP, Trump memarahi Zelensky dan menuduhnya memperjudikan nyawa jutaan orang serta menegaskan tindakannya itu boleh mencetuskan Perang Dunia III.

Pertelingkah bermula apabila Vance dan Trump masing-masing menegur Zelensky tidak menghormati dan tidak cukup berterima kasih kepada AS atas sokongan negara itu.
“Tuan Presiden, saya rasa adalah tidak hormat untuk anda datang ke Pejabat Oval dan cuba membincangkan perkara ini di hadapan media Amerika,” kata Vance.
Zelensky cuba membantah menyebabkan Trump meninggikan suaranya dan menuduh presiden Ukraine itu sedang memperjudikan nyawa jutaan orang.
“Kamu sedang mempertaruhkan nyawa berjuta orang. Kamu mempertaruhkan Perang Dunia III dan apa yang anda lakukan sangat tidak menghormati negara ini,” jerit Trump.
Terdahulu, Trump berkata, AS akan terus memberikan bantuan ketenteraan kepada Ukraine, tetapi berharap agar jumlah yang dihantar tidak terlalu banyak.

“Kami tidak mahu menghantar terlalu banyak senjata. Kami mahu perang ini selesai supaya boleh melakukan perkara lain,” kata Trump.
Dia juga mencadangkan Zelensky supaya tidak berada dalam kedudukan untuk menuntut sebarang konsesi.
“Kamu bukan dalam kedudukan yang baik. Kamu tiada kelebihan sekarang, dengan kami barulah kamu mula mempunyai kelebihan,” katanya.