PANDUANKINI | DAP bakal mengadakan pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) pada 16 Mac ini.
Pada asalnya, pemilihan ini bertujuan memilih pasukan kepimpinan untuk persiapan menghadapi pilihan raya umum akan datang. Namun, konflik dalaman yang tidak dijangka meledak, mencetuskan gerakan untuk mencantas Lim Guan Eng.
Guan Eng digelar "tokong" pada tahun 2012 setelah timbalan ketua menteri Pulau Pinang pada masa itu, Mansor Othman, mengkritik sikapnya yang dianggap angkuh.
Guan Eng dilihat tidak selesa dengan gelaran tersebut walaupun terdapat penjelasan kemudiannya bahawa ia sebenarnya melambangkan penghormatan.
Kini, media berbahasa Cina dan kalangan politik mengambil inspirasi daripada gelaran itu dan menamakan gerakan menolak Lim sebagai “hantar dewa pulang”.
Upacara "hantar dewa" merupakan ritual sebelum Tahun Baru Cina. Isi rumah mengucapkan selamat tinggal kepada dewa-dewi yang bakal naik ke syurga untuk melaporkan perbuatan baik buruk mereka.
Guan Eng meletakkan jawatan sebagai setiausaha agung DAP dan mengambil alih peranan sebagai pengerusi pada 2022. Jadi, mengapa dia menjadi pusat perhatian dalam pemilihan parti ini?
Malaysiakini bercakap dengan pelbagai sumber dalaman DAP untuk menggariskan apa yang diketahui setakat ini mengenai pertandingan sengit ini.
Kenapa pemilihan kali ini begitu sengit?
Pemilihan DAP sebelum ini kebanyakannya memaparkan imej perpaduan, dengan hampir dua dekad berlalu tanpa pergolakan puak yang ketara. Namun, kali ini, pertandingan ini jauh berbeza.
Ramai dalam parti percaya bahawa ketegangan semasa berpunca dari Pulau Pinang dan dicetuskan oleh pemilihan calon untuk pilihan raya negeri Pulau Pinang 2023.
Sekurang-kurangnya dua sumber yang dipercayai memberitahu Malaysiakini bahawa Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow telah pergi ke Kuala Lumpur khusus untuk menyerahkan senarai calon kepada jawatankuasa pemilihan calon parti, yang dikenali secara dalaman sebagai jawatankuasa lima anggota.

Namun, Chow tidak dijemput untuk berbincang dengan jawatankuasa berkuasa itu. Sebaliknya, dia hanya menyerahkan senarai tersebut dan kemudian pulang ke Pulau Pinang.
Akhirnya, hanya 10 Adun penyandang dikekalkan di kawasan asal mereka, seorang dipindahkan ke kerusi lain, dan lapan orang – termasuk lima ahli exco penyandang – digugurkan.
Oleh kerana kebanyakan calon dalam senarai ini adalah penyokong Guan Eng, ia memberikan gambaran bahawa pengaruhnya mengatasi Chow.
Walaupun Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berulang kali memberi jaminan bahawa Chow akan kekal sebagai ketua menteri, kepimpinan parti tetap memutuskan untuk melakukan penyusunan semula besar-besaran terhadap exco DAP dalam kerajaan negeri.
Setahun kemudian, menjelang pemilihan DAP Pulau Pinang, timbul spekulasi bahawa Guan Eng cuba mengetengahkan adiknya, Hui Ying, sebagai pengerusi negeri untuk membuka jalan menjadi ketua menteri.
Ini mencetuskan bantahan yang lebih besar dalam parti. Namun, dengan sokongan Loke, Menteri Sumber Manusia Steven Sim dipilih sebagai pengerusi DAP negeri, manakala Hui Ying kekal sebagai setiausaha DAP negeri.
Mereka yang menentang Guan Eng berpendapat bahawa jika pengaruhnya tidak dibendung dalam pemilihan CEC akan datang, mengemudikan parti pada masa depan akan menjadi lebih sukar.
Sekurang-kurangnya dua pemimpin DAP yang neutral di luar Pulau Pinang memberitahu Malaysiakini bahawa untuk menyelesaikan pertikaian ini, punca utama – Pulau Pinang – perlu diselesaikan terlebih dahulu.
Seorang daripada mereka menyatakan bahawa tiada pendamaian selepas pemilihan DAP negeri September lalu, justeru ketegangan kini merebak ke pemilihan parti peringkat kebangsaan.

"Semuanya berpunca dari Pulau Pinang, dan kini ia telah merebak ke seluruh negara," kata sumber tersebut.
Pemimpin lain mencadangkan agar Guan Eng kekal dalam CEC tetapi digugurkan dari jawatan pengerusi. Namun, sumber itu menambah, memandangkan personalitinya, beliau tidak mungkin tunduk kepada puak anti-Lim di Pulau Pinang.
Apakah jawatankuasa lima anggota?
Jawatankuasa lima anggota merupakan badan kepimpinan teras DAP yang bertanggungjawab memilih calon pilihan raya. Memandangkan perlembagaan parti tidak menyebut secara jelas tentang jawatankuasa ini, pengkritik berpendapat bahawa pemilihan calon sepatutnya diuruskan oleh setiausaha agung, CEC, atau Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC).
Tidak seperti parti lain yang diketuai oleh presiden, kuasa eksekutif tertinggi DAP terletak pada setiausaha agung, seperti yang diperuntukkan dalam perlembagaannya.
CWC berfungsi seperti biro politik parti lain, seperti Umno dan PKR.
Pada masa lalu, jawatankuasa pemilihan calon beroperasi dengan tiga atau empat anggota, bukan lima.
Jawatankuasa ini terdiri daripada Setiausaha Agung Loke, Ketua Parlimen Nga Kor Ming, Pengerusi Guan Eng, Timbalan Pengerusi Gobind Singh Deo, dan Naib Pengerusi M Kulasegaran.
Memandangkan Kulasegaran mengumumkan tidak akan bertanding dalam pemilihan CEC, jawatankuasa ini mungkin akan disusun semula selepas pemilihan. Jika Guan Eng kalah jawatan pengerusi, dia juga mungkin digugurkan dari jawatankuasa ini.
Siapa watak-watak penting dalam pemilihan ini?
(1) Lim Guan Eng: Bekas setiausaha agung yang berdepan cabaran
- 65 tahun, pengerusi kebangsaan
- Walaupun telah meletak jawatan sebagai setiausaha agung, pengaruhnya masih kuat
- Berinteraksi dengan ahli akar umbi untuk mendapatkan sokongan dan mendakwa "kuasa luar" sedang campur tangan dalam pemilihan
- Jika kalah, dia mungkin tidak lagi mengawal keputusan utama, seperti pemilihan calon
(2) Anthony Loke: Setiausaha agung yang semakin popular
- 48 tahun, menteri pengangkutan
- Mengambil alih jawatan setiausaha agung pada 2022 dan membina autoriti kepimpinannya secara stabil
- Mempunyai dua lagi penggal bawah had penggal parti
- Menegaskan pengaruhnya dalam pemilihan DAP Pulau Pinang dengan menyokong Sim, sekali gus mengganggu dakwaan rancangan Guan Eng
- Jika pengaruh Guan Eng merosot, Loke akan mempunyai lebih kebebasan membentuk hala tuju DAP pada masa depan
(3) Nga Kor Ming: De facto kedua dalam parti
- 53 tahun, menteri perumahan dan kerajaan tempatan
- Naib pengerusi semasa dan ketua parlimen
- Menguasai Perak, salah satu pusat perwakilan terbesar parti
- Dilihat sebagai calon pengganti Loke sebagai setiausaha agung
- Tidak mungkin mengambil alih jawatan pengerusi, kerana boleh mengganggu prospek kepimpinannya pada masa depan
(4) Gobind Singh Deo: Kalah dalam pemilihan DAP Selangor, tetapi menang dalam pemilihan CEC?
- 52 tahun, menteri digital
- Timbalan pengerusi dan ahli jawatankuasa pemilihan calon
- Anak mendiang pengerusi parti Karpal, dikenali dengan gaya pidato dan politik yang kuat, mirip ayahnya
- Mengalami kekalahan dalam pemilihan DAP Selangor tahun lalu, gagal mendapatkan kerusi jawatankuasa negeri dan justeru kehilangan jawatan pengerusi negeri
- Dilihat sebagai salah satu calon berpotensi untuk menggantikan Guan Eng sebagai pengerusi jika jawatan itu kosong

(5) (5) Chow Kon Yeow: Tidak sertai pemilihan DAP Pulau Pinang, fokus pada pemilihan CEC
- 67 tahun, ketua menteri Pulau Pinang dan naib pengerusi parti
- Tidak menyertai pemilihan DAP Pulau Pinang dan tidak bertanding semula sebagai pengerusi DAP negeri selepas tamat penggal
- Mengumumkan pencalonannya untuk CEC tetapi belum mengesahkan sama ada akan menerima jawatan pengerusi DAP jika dipilih ke CEC dan ditawarkan jawatan tersebut
- Dilihat sebagai salah satu calon alternatif untuk pengerusi yang disokong oleh puak anti-Lim
(6) Steven Sim: Bintang baru, tapi dilabel "pengkhianat" oleh puak lawan
- 43 tahun, menteri sumber manusia
- Setiausaha organisasi
- Memenangi jawatan pengerusi DAP negeri Pulau Pinang September lalu tetapi dilabel sebagai "pengkhianat" oleh kem Guan Eng
- Dihina secara terbuka selepas majlis makan malam penghormatan untuk Lim Kit Siang pada 15 Februari
Apa kata penyokong Guan Eng?
Penyokong Guan Eng berpendapat bahawa dia masih boleh menyumbang kerana tidak terikat dengan jawatan menteri. Ini membolehkannya lebih bebas bercakap mengenai isu sensitif.
Seorang anggota CEC, yang enggan namanya didedahkan, berkata DAP memerlukan gabungan pemimpin senior dan muda, terutamanya ketika berurusan dengan tokoh politik berpengalaman seperti Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.
"Kami sayangkan parti dan tidak mahu melihat DAP dibuli," kata sumber tersebut.
Dia menjelaskan bahawa walaupun orang luar mungkin melihat pendekatan Guan Eng terhadap Chow sebagai agresif dan keras, tetapi ia mempunyai sebab.

"Jika kita meletakkan diri kita dalam situasi masing-masing, kita boleh memahami kedua-dua perspektif. Chow akan berasa, 'Saya ada cara saya sendiri, anda sudah tidak berkuasa, mengapa campur tangan?'
"Tetapi Chow telah membuat beberapa keputusan bermasalah, yang Guan Eng anggap tidak boleh diterima."
Anggota CEC itu menyebut isu seperti masalah aliran tunai dan kekurangan air bawah pentadbiran Chow, serta pemberian projek Batu Kawan Industrial Park 2 (BKIP 2) tanpa tender terbuka, yang melanggar prinsip tadbir urus "CAT" (kecekapan, akauntabiliti dan ketelusan) parti.
"Bagi Guan Eng, jika hanya satu penggal bawah Chow sudah begitu banyak isu, dia betul-betul bimbang. Jadi, dari perspektifnya, saya bersimpati dengan Chow, tetapi dalam hal tadbir urus, dia tidak setanding dengan Guan Eng.
"Orang lihat bekas pemimpin buli Chow. Tetapi dari perspektif Guan Eng, dia cuba selamatkan kerajaan Pulau Pinang," tambah sumber itu.
Antara mereka yang menentang gerakan "hantar pulang dewa", ada juga yang bukan penyokong Guan Eng tetapi neutral, seperti bekas anggota CEC Teng Chang Khim dan bekas timbalan ketua Pemuda DAP Chiong Yoke Kong.
Teng berpendapat Guan Eng harus dikekalkan dalam CEC selama tiga tahun lagi untuk memberi masa kepada generasi pemimpin baru membina kredibiliti dan rekod kepimpinan mereka dalam menghadapi landskap politik semasa.

Namun, dia menentang Hui Ying kekal dalam CEC, dengan memberi amaran terhadap kesinambungan "dinasti Lim" dan menolak penggantian kepimpinan berasaskan keluarga dalam parti.
Bagaimana DAP pilih pemimpinnya?
Pemilihan CEC DAP mengikut proses dua peringkat. Para delegasi pertama memilih 30 ahli ke dalam CEC, di mana sekurang-kurangnya sembilan mesti wanita, seperti yang diperuntukkan dalam perlembagaan parti.
Selepas pusingan pertama, 30 ahli CEC yang baru dipilih bermesyuarat dan mengundi secara dalaman untuk jawatan pegawai, termasuk setiausaha agung – jawatan tertinggi dalam DAP, setaraf dengan peranan presiden dalam parti lain.
Oleh itu, mana-mana pemimpin yang bercita-cita untuk jawatan tertinggi perlu memastikan diri mereka dan sekutu mereka mendapat cukup undi dalam pusingan pertama untuk berpeluang dalam pemilihan akhir.
Pemilihan ini bukan sahaja akan menentukan kepimpinan parti tetapi juga menandakan peralihan generasi. Jika Guan Eng kalah jawatan pengerusi, jawatankuasa lima anggota mungkin disusun semula, mengagih semula kuasa membuat keputusan.
Selain itu, beberapa pemimpin veteran – termasuk Kulasegaran, Tan Kok Wai, Fong Kui Lun, dan Phee Boon Poh – tidak bertanding, menandakan bahawa generasi seterusnya bakal mengambil alih.
Daripada empat itu, hanya Phee bukan penyandang anggota CEC.