Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengingatkan semua jabatan kerajaan dan agensinya supaya bersikap lebih bersederhana dalam perbelanjaan bagi aktiviti berkaitan Ramadan, khususnya jika membabitkan peruntukan kerajaan.
Katanya, kerajaan menggalakkan kementerian dan syarikat membuat kebajikan dengan memberikan sumbangan kepada golongan kurang bernasib baik, namun ada kalanya, perkakasan yang digunakan itu dilihat berlebih-lebihan.
“Dia punya perkakasan itu agak berlebih, kotak-kotak yang sangat indah nak isi kurma untuk beri kepada orang. Kalau harga kotak lebih mahal daripada harga kurma, jadi itu satu pembaziran. Nak campak ke mana (kotak itu)?

"Jadi, lebih baiklah hal ini kita perhatikan. Tak perlu sangat nak menunjukkan kemewahan kerana dana itu boleh digunakan untuk memberi manfaat kepada yang lebih memerlukan.
“Itu saya ingatkan kepada semua.,” katanya dalam Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya, hari ini.
Pada masa yang sama, Anwar mengingatkan bahawa Ramadan sebagai masa untuk memberi lebih tumpuan kepada al-Quran berikutan ia merupakan bulan turunnya kitab suci itu.
Katanya, Ramadan bukan sahaja mengukuhkan keyakinan ibadat seseorang kepada Allah SWT tetapi juga memupuk integriti, disiplin, kejujuran dalam kehidupan.

“Jadi, lebih baik hal ini diperhatikan, tidak perlu sangat menunjukkan kemewahan kerana dana itu boleh digunakan untuk memberi manfaat yang lebih, saya ingatkan kepada semua sebagai peringatan,” katanya.
Dia juga memberi peringatan supaya membudayakan pembacaan, kefahaman dan mesej al-Quran.
“Syahrul Ramadan adalah bulan turunnya al-Quran, yang menjadi panduan untuk menentukan pertimbangan antara yang baik dan buruk.
“Maka, marilah kita semua mengambil kesempatan ini untuk mendalami dan mengamalkan ajaran al-Quran.
“Ini kerana, al-Quran merupakan petunjuk kepada manusia agar dapat menentukan pertimbangan antara baik dan buruk,” katanya.