malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Trump umum XRP, SOL, ADA, BTC dan ETH sebagai rizab strategik AS
Diterbitkan:  Mar 3, 2025 5:30 AM
Dikemaskini: 9:48 PM
ADS

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mengumumkan beberapa mata wang kripto sebagai rizab strategik AS, termasuk XRP, Solana (SOL) dan Cardano (ADA).

Trump pada mulanya tidak menyebut Bitcoin (BTC) atau Ethereum (ETH) — dua mata wang kripto terbesar mengikut modal pasaran — dalam kenyataannya.

Namun, menerusi hantaran di media sosial kemudiannya, Trump menjelaskan bahawa rizab tersebut akan turut merangkumi aset-aset berkenaan.

"Rizab kripto AS akan mengangkat industri penting ini selepas bertahun-tahun diserang secara korup oleh pentadbiran Biden. Oleh itu, perintah eksekutif saya mengenai aset digital mengarahkan kumpulan kerja presiden untuk bergerak ke hadapan dengan rizab strategik kripto yang merangkumi XRP, SOL dan ADA.

"Saya akan pastikan AS menjadi ibu kota kripto dunia. Kita sedang menjadikan Amerika hebat semula!" katanya.

Selepas pengumuman awal Trump, harga XRP, SOL dan ADA melonjak dengan ketara.

Harga ADA meningkat lebih 63 peratus dalam tempoh dua jam selepas hantaran presiden itu, manakala SOL meningkat 23 peratus dan XRP sebanyak 32 peratus, lapor Coindesk.com.


BACA: M'sia perlu transformasi digital, tumpu blockchain, mata wang kripto - PM


Kira-kira sejam selepas hantaran pertamanya, Trump menjelaskan bahawa "BTC dan ETH, sebagai mata wang kripto berharga lainnya, akan menjadi teras rizab berkenaan."

Trump telah menimbulkan idea mengenai rizab strategik kripto sejak kempen presidennya tahun lalu.

Tidak lama selepas mengambil alih jawatan itu pada Jan, dia menandatangani perintah eksekutif yang mengarahkan satu kumpulan kerja untuk menilai pembentukan rizab strategik kripto.

Perintah itu menyatakan bahawa kumpulan kerja aset digital harus "menilai potensi penciptaan dan penyelenggaraan stok aset digital nasional."

Senator AS, Cynthia Lummis sebelum ini memperkenalkan rang undang-undang untuk mewujudkan rizab strategik Bitcoin bagi AS.

Lummis pertama kali mencadangkan perkara itu pada persidangan Bitcoin di Nashville Julai tahun lalu, di mana ketika itu Trump turut berucap.

Rang undang-undang yang dicadangkan oleh Lummis akan memberi kuasa kepada Perbendaharaan AS untuk memperoleh satu juta Bitcoin dalam tempoh lima tahun, bersamaan kira-kira lima peratus daripada jumlah bekalan Bitcoin.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen