Seorang pegawai perubatan sebuah hospital di sini yang ditahan bagi membantu siasatan kerana berkelakuan tidak senonoh di tempat kerjanya pada Rabu, dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut Supt Lee Swee Sake berkata jaminan itu diberikan selepas perintah reman terhadap doktor berusia 43 tahun berkenaan tamat hari ini.
"Polis ketika ini sedang melengkapkan kertas siasatan kes berkenaan di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955, sebelum diserahkan kepada Bukit Aman dan Pejabat Peguam Negara (AGC) untuk tindakan seterusnya," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, pihak polis menahan pegawai perubatan itu di sebuah hospital di George Town kira-kira 9.30 malam Rabu selepas menerima maklumat daripada pihak hospital berhubung kejadian berkenaan.
Lelaki itu kemudiannya direman selama empat hari bermula 27 Feb bagi membantu siasatan kes itu.
- Bernama