Bekas menteri undang-undang, Zaid Ibrahim, membangkitkan persoalan mengenai naratif SPRM menahan wartawan Malaysiakini, B Nantha Kumar.
Zaid menimbulkan persoalan mengapa wartawan berkenaan sanggup "menjual dirinya" hanya untuk mendapatkan wang RM20,000 bagi menggugurkan artikel-artikel yang mendedahkan jenayah melibatkan pegawai imigresen, selepas menghabiskan begitu banyak masa menyiasat kes tersebut.
Zaid merujuk kepada kerja-kerja terdahulu wartawan itu, termasuk memberikan nama-nama individu berprofil tinggi yang disyaki sebagai dalang sindiket visa perubatan dan pemalsuan di kaunter kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN).
"Memandangkan latar belakangnya yang diketahui umum dalam membuat tuduhan terhadap penglibatan haram pegawai tinggi kerajaan dalam pengambilan pekerja asing,
"Sukar untuk memahami mengapa naluri pertama SPRM bukan untuk melindunginya, sebaliknya menahannya dan bukan 'ejen' tersebut.
"Adakah mungkin Nantha sebenarnya sedang 'memancing' ejen itu untuk mendapatkan lebih banyak maklumat tetapi tidak pernah berniat untuk meminta wang?" katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Nantha ditahan lewat malam Jumaat lalu oleh SPRM.
Penahanan itu dibuat seminggu selepas Malaysiakini menerbitkan artikelnya yang mendedahkan bekas pegawai Jabatan Imigresen, yang kini bergelar “Datuk”, merupakan dalang utama kartel Pakistan yang bertanggungjawab menyeludup pekerja asing ke Malaysia.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, menafikan penahanan itu berkaitan dengan artikel tersebut.
Sebaliknya, dia mendakwa Nantha meminta rasuah daripada seorang ejen yang berurusan dengan pekerja asing sebagai balasan untuk tidak menerbitkan dua artikel mengenai ejen berkenaan.
Ejen itu kemudian memaklumkan kepada SPRM, yang membawa kepada "operasi perangkap"di mana badan pencegah rasuah itu mendakwa Nantha ditahan ketika menerima suapan sebanyak RM20,000.
"Bagaimana Azam boleh mempercayai cerita ejen itu dengan begitu cepat tapi perlu menahan Nantha selama empat hari untuk disoal siasat? Adakah ini cara profesional SPRM bekerja?" soal Zaid.
"Walaupun siasatan masih berjalan, Azam sudah boleh mengatakan bahawa Nantha meminta RM20,000 untuk menyembunyikan cerita itu," tambahnya.
Zaid berkata SPRM perlu diletakkan di bawah pemantauan dan tugas mereka perlu dinilai semula.
Terdahulu, Azam memberitahu Berita Harian bahawa SPRM tidak memilih bulu dalam siasatannya, selepas agensi itu menerima kritikan dan digesa memberi tumpuan kepada ejen, pegawai kerajaan, dan ahli politik yang terlibat dalam rasuah.
Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, wakil kumpulan Malaysians Against Death Penalty and Torture (MADPET), Charles Hector, turut mempersoalkan apakah SPRM membuka siasatan terhadap jenayah yang didedahkan oleh Nantha dan Malaysiakini.
Dia juga menggesa agar Nantha dibebaskan.
"Dia sepatutnya boleh dibebaskan dan dipanggil apabila diperlukan untuk tujuan siasatan.
"Lagipun, Najib Abdul Razak dan yang lain tidak pernah ditahan di lokap untuk tujuan siasatan. Bebaskan Nantha serta-merta dan teruskan siasatan tanpa perlu menahannya," katanya.