malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Penjaga gol buang masa dihukum sepakan sudut - peraturan baru IFAB
Diterbitkan:  Mar 2, 2025 11:06 AM
Dikemaskini: 3:06 AM
ADS

Lembaga Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (IFAB) pada Sabtu mengumumkan kelulusan peraturan baru bagi menangani tindakan membuang masa oleh penjaga gol, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-139 di Belfast, Ireland Utara, IFAB sebulat suara bersetuju untuk meminda peraturan mengenai sepakan percuma tidak terus.

Di bawah peraturan baru itu, jika penjaga gol memegang bola lebih daripada lapan saat — selepas kira detik visual selama lima saat oleh pengadil -- pasukan lawan akan diberikan sepakan sudut.

Sebelum ini, penjaga gol dikehendaki melepaskan bola dalam tempoh enam saat, dan sekiranya gagal, pasukan lawan akan diberikan sepakan percuma tidak terus, namun peraturan ini jarang dikuatkuasakan.

Selain itu, IFAB turut memperkenalkan peruntukan baru kepada protokol Video Bantuan Pengadil (VAR), yang membolehkan pengadil membuat pengumuman selepas semakan VAR atau semakan VAR yang dilanjutkan.

Dalam satu kenyataan, IFAB juga menekankan garis panduan baru yang memperkukuh prinsip bahawa hanya kapten pasukan dibenarkan menghampiri pengadil dalam situasi tertentu.

- Bernama-Anadolu


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen