malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
SPRM perlu siasat kes rasuah KLIA, bukan tahan wartawan - PAS
Diterbitkan:  Mar 2, 2025 9:39 AM
Dikemaskini: 2:31 AM
ADS

PAS menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memberi keutamaan kepada siasatan berhubung dakwaan rasuah yang melibatkan ejen pekerja asing dan pegawai imigresen di pintu masuk negara, berbanding menahan wartawan yang melaporkan isu tersebut.

Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan menegaskan tindakan SPRM menahan wartawan portal Malaysiakini B Nantha Kumar yang membongkar isu penyeludupan pekerja asing itu janggal dan menimbulkan persoalan.

"PAS percaya adalah lebih tepat dan sesuai sekiranya SPRM mendahulukan siasatan ke atas laporan media mengenai kegiatan meragukan ini, berbanding mengambil tindakan terhadap wartawan yang hanya melaporkan dakwaan rasuah tersebut," katanya.

Wartawan berkenaan sebelum ini melaporkan dua artikel bertajuk "Pegawai imigresen KLIA kantoi selit 12 pasport di pinggang" dan "Bongkar: 'Datuk' dalang kartel Pakistan di KLIA?" masing-masing pada 19 dan 22 Februari. Laporan tersebut mendedahkan dakwaan wujudnya sindiket warga Pakistan yang menyeludup masuk pekerja asing ke Malaysia.

‘Kes perangkap’

Menurut PAS, siasatan SPRM terhadap wartawan Malaysiakini hanya berdasarkan laporan pihak berkepentingan langsung, iaitu ejen pekerja asing yang didedahkan dalam laporan tersebut.

"Agak janggal dari beberapa sudut dan perlu diteliti dengan lebih dekat, terutama dari segi motif, ketepatannya bawah undang-undang dan keutamaannya.," tambah Takiyuddin.

Dia juga mengingatkan isu salah laku pegawai imigresen dan ejen pekerja asing bukan perkara baru.

Pada September tahun lalu, SPRM dilapor menahan 37 penguat kuasa di KLIA kerana disyaki menerima rasuah bagi membolehkan warga asing memasuki Malaysia tanpa prosedur sah.

Selain itu, dalam operasi khas di beberapa negeri, SPRM merampas lebih RM1 juta wang tunai, jongkong emas, jam tangan berjenama, serta beberapa aset mewah yang dipercayai berkaitan dengan aktiviti rasuah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki semalam berkata wartawan itu didakwa meminta RM100,000 daripada ejen itu sebagai balasan untuk tidak menyiarkan dua artikel berhubung ejen itu.

Azam mendakwa jumlah itu akhirnya dikurangkan kepada RM20,000.

"Ejen itu membuat laporan kepada SPRM, selepas itu kami menjalankan apa yang dipanggil 'kes perangkap'," kata Azam .

Semalam, Mahkamah Majistret Putrajaya pula membenarkan permohonan SPRM untuk menahan reman wartawan itu selama empat hari.

Nantha - yang berkhidmat dengan Malaysiakini sejak 2018 - telah menulis secara meluas baru-baru ini mengenai sindiket imigresen, termasuk yang melibatkan Jabatan Imigresen.

Sementara itu, PAS turut menyoal jika tindakan terhadap wartawan terbabit dibuat dengan pendekatan yang betul.

"Sekiranya dakwaan peras ugut jenayah oleh wartawan terbabit benar, bukankah perkara itu sepatutnya dilaporkan kepada pihak polis untuk siasatan bawah Kanun Keseksaan, bukannya diambil tindakan bawah Akta SPRM," soalnya.

Takiyuddin berkata sekiranya laporan Malaysiakini didakwa sebagai tidak benar atau berunsur fitnah, pihak terlibat boleh mengambil tindakan melalui saluran undang-undang seperti saman sivil, bukannya membuat laporan kepada SPRM untuk menekan wartawan.

PAS menyatakan kebimbangan tindakan ini memberi gambaran negatif terhadap SPRM, sekali gus menimbulkan persepsi badan itu cuba menutup mulut media.

"Ia boleh dianggap bertujuan menutup mulut wartawan dan media terbabit, sekali gus memenuhi motif dan kepentingan pihak berkepentingan langsung yang didedahkan sebelum ini.

"Tindakan itu juga boleh dilihat sebagai langkah yang berlawanan dengan peranan wartawan dan media sebagai institusi teras demokrasi, prinsip kebebasan bersuara serta semak dan imbang awam," katanya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahli Parlimen Segamat, R Yuneswaran (gambar atas) menggesa SPRM untuk memperluaskan siasatan terhadap individu yang didakwa terlibat dalam sindiket yang dibongkar oleh Malaysiakini.

Memandangkan keseriusan dakwaan tersebut, SPRM mesti memastikan individu yang bertanggungjawab terhadap aktiviti jenayah ini turut dibawa ke muka pengadilan, kata Yuneswaran, sambil menegaskan bahawa dakwaan seumpama ini telah lama membayangi sistem imigresen negara.

"SPRM bukan sahaja perlu menyiasat wartawan tersebut tetapi juga memperluaskan siasatan terhadap individu yang dikaitkan dengan sindiket yang telah didedahkannya," tegasnya.

Yuneswaran turut menggesa SPRM agar menyiasat ejen yang telah membuat laporan terhadap wartawan Malaysiakini, Nantha Kumar.

"Pihak berkuasa perlu menentukan sama ada ejen tersebut terlibat dalam mana-mana aktiviti sindiket dan memastikan semua individu yang terlibat dalam operasi seumpama ini dihadapkan ke muka pengadilan," katanya.

Wakil rakyat PKR itu juga mengingatkan semua pihak agar tidak membuat spekulasi atau menyebarkan khabar angin yang tidak berasas mengenai kes ini.

"Oleh itu, SPRM tidak seharusnya memandang ringan laporan yang dibuat oleh wartawan Malaysiakini atau mengabaikan kemungkinan salah laku yang telah didedahkan," katanya lagi.

Pun begitu, Yuneswaran berkata wartawan perlu mengekalkan standard etika tertinggi bagi memastikan kepercayaan masyarakat terhadap profesion kewartawanan.

"Walaupun tiada wartawan yang sepatutnya didakwa atas sebab yang tidak wajar, sebarang salah laku, jika terbukti benar, harus menjadi pengajaran kepada pihak lain dalam industri ini.

"Kewartawanan beretika adalah tunjang kepada landskap media yang berwibawa dan boleh dipercayai.

"Justeru, pengamal media harus berpegang teguh kepada prinsip integriti, ketelusan, dan akauntabiliti," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen