malaysiakini logo
story-image
ADS

Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil berkata dia masih belum mengambil sebarang keputusan muktamad berhubung pembabitannya dalam pemilihan parti yang akan diadakan pada 25 Mei ini.

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai dakwaan dia mungkin mencuba nasib untuk meletakkan dirinya sebagai salah seorang naib presiden parti.

"Dalam Keadilan (PKR), kita boleh menjalankan tugas dan berbakti dalam apa jua jawatan.

"Jadi buat masa ini itu pilihan saya, kita tunggu," katanya dalam sidang media mingguan kerajaan di Putrajaya, hari ini.

Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai menyandang jawatan Ketua Penerangan PKR sejak Julai 2022.

Sebelum itu dia diberi kepercayaan berkhidmat sebagai Pengarah Komunikasi PKR iaitu dari Sept 2013 hingga Julai 2022.

Untuk rekod, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, berkata akan mengumumkan langkah selanjutnya dalam PKR hari ini, sama ada kekal bertanding untuk jawatan naib presiden atau mencuba untuk melangkah lebih jauh ke jawatan timbalan presiden.

Kata Amirudin pada dasarnya dia lebih suka untuk mempertahankan saja kerusi naib presiden yang dimenanginya sebelum ini.

Pun begitu, katanya, dia perlu memberi pertimbangan kepada kemungkinan bertanding jawatan lebih tinggi selepas ada faktor lain yang muncul.

Dalam struktur PKR, parti itu mempunyai empat tempat untuk naib presiden yang dilantik melalui pemilihan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen