malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Al-Sultan Abdullah gesa henti perbahasan isu titah adendum Najib
Diterbitkan:  Feb 28, 2025 9:27 AM
Dikemaskini: 3:03 AM
ADS

Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah menggesa semua pihak menghentikan perbahasan mengenai titah adendum, sambil menegaskan perkara itu di bawah proses undang-undang dan harus dihormati.

Sultan Pahang bertitah bahawa perkara itu berada di bawah bidang kuasa pihak yang bertanggungjawab dan berintegriti.

"Oleh itu, semua pihak perlu menghormati proses serta undang-undang yang telah ditetapkan dan tidak menimbulkan sebarang kekeliruan dan retorik.

"Saya menyeru kepada semua supaya berpegang teguh kepada nilai kejujuran, amanah, saling menghormati dan bersikap terbuka dalam menyelesaikan sesuatu perkara," katanya pada majlis impunan Pahang Bermunajat Raja Berdaulat di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, di Kuantan, semalam.

Titah adendum, yang dikeluarkan pada 29 Jan 2023, sebelum Al-Sultan Abdullah menamatkan tempoh perkhidmatannya sebagai Yang di-Pertuan Agong, mengarahkan Najib Razak menghabiskan baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.

Ini adalah titah tambahan kepada keputusan Lembaga Pengampunan, yang mengurangkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta kepada bekas perdana menteri itu kepada enam penjara tahun dan denda RM50 juta.

Najib, yang disabitkan kesalahan dalam kes SRC International, mendapat kebenaran Mahkamah Rayuan pada Januari untuk semakan kehakimannya diteruskan, bertujuan untuk memaksa kerajaan melaksanakan titah tambahan itu.

Jabatan Peguam Negara (AGC) sejak itu telah memohon perintah larangan suara (gag order) termasuk dalam liputan media, dengan perbicaraan ditetapkan pada 24 Mac (permohonan semakan kehakiman) dan 28 April (permohonan larangan suara).

Tinggalkan sifat suka fitnah

Sementara itu, Al-Sultan Abdullah menyeru agar semua pihak saling menghormati dan berfikiran positif bagi mengukuhkan perpaduan dalam masyarakat.

Bernama melaporkan baginda bertitah agar rakyat tidak membiarkan perbezaan pendapat dan kepentingan kecil memecahbelahkan masyarakat.

"Jangan biarkan perbezaan menjadi punca perpecahan, sebaliknya hormatilah antara satu sama lain dan carilah titik persamaan demi kesejahteraan bersama.

"Pada masa yang sama, saya ingin mengingatkan semua pihak agar perlu sentiasa bersangka baik. Janganlah kita terlalu cepat menilai seseorang atau sesuatu perkara dengan sikap negatif," titah baginda

Turut menyerikan majlis itu ialah Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, bersama Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail dan pemimpin kerajaan negeri lain yang turut hadir.

Al-Sultan Abdullah turut mengingatkan kerajaan supaya prihatin terhadap rakyat, manakala pembangkang perlu memainkan peranan yang membina dengan menawarkan cadangan yang baik dan bukannya mewujudkan perpecahan.

"Semua pihak, kerajaan, pembangkang dan rakyat mesti meninggalkan sikap suka memfitnah, menabur kebencian dan menyebarkan berita tidak benar yang akan melemahkan perpaduan serta menghakis nilai moral dalam masyarakat," titah baginda.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen