malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pakatan baru di Sabah? Warisan nafi, Jeffrey enggan komen
Diterbitkan:  Feb 27, 2025 6:27 PM
Dikemaskini: 11:35 AM
ADS

Khabar angin bertiup kencang bahawa parti Warisan dan Parti Solidariti Tanah Airku (Star) sedang berbincang untuk membentuk pakatan baru, didorong oleh pendirian bersama mereka terhadap parti politik yang berpangkalan di Semenanjung Malaysia.

Naib Presiden Warisan, Terrence Siambun, telah menafikan sebarang perbincangan sedemikian, manakala Presiden Star Jeffrey Kitingan kekal menutup mulut dan hanya menjawab "tiada komen".

Dalam kenyataan kepada Malaysiakini, Siambun berkata spekulasi memang cenderung timbul apabila pilihan raya negeri (PRN) semakin hampir.

Bagaimanapun, dia menegaskan Warisan tetap komited dengan prinsip terasnya dan kepentingan rakyat Sabah.

"Sebarang perbincangan rasmi atau keputusan strategik akan dimaklumkan melalui saluran rasmi," katanya.

Menjelaskan lebih lanjut, Siambun berkata, perkara itu belum pun dibangkitkan di peringkat Majlis Tertinggi Warisan dan menegaskan tiada rundingan sedemikian berjalan setakat ini.

“Landskap politik Sabah sentiasa berubah-ubah, dan perbualan antara pemimpin politik bukanlah sesuatu yang luar biasa.

"Bagaimanapun, pada ketika ini, Warisan tidak terlibat dalam sebarang perbincangan dengan Star mengenai pembentukan pakatan.

“Kami menggesa semua pihak mengelak daripada menyebarkan spekulasi tidak berasas.

“Sekiranya terdapat sebarang perkembangan, Warisan akan memastikan ketelusan dalam menyampaikan maklumat yang tepat kepada orang ramai,” katanya.

Sibuk sidang parlimen

Menurut sumber tertentu, Warisan dan Star didakwa sedang mempertimbangkan untuk membentuk pakatan bersama di bawah Gabungan Parti-Parti Sabah (GPS).

Ketika ini Star adalah sebahagian daripada Gagasan Rakyat Sabah (GRS) pimpinan Ketua Menteri, Hajiji Noor, yang terpalit dengan dakwaan skandal rasuah.

Penangguhan mesyuarat GRS minggu lalu untuk memuktamadkan peruntukan kerusi bagi PRN ke-17 pula mencetuskan spekulasi lanjut, terutamanya disebabkan ketiadaan pemimpin utama.

Rundingan kerusi adalah penting untuk GRS - sebuah gabungan yang terdiri daripada lapan parti komponen.

Watak utama dalam parti itu termasuklah Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) dengan 26 Adun, PBS tujuh, Star dengan enam, dan Parti Maju Sabah (SAPP) dan Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) dengan masing-masing seorang wakil.

Menambah ketegangan politik, Presiden Usno Pandikar Amin Mulia baru-baru ini menggesa GRS bertanding dalam pilihan raya secara solo dan ia merupakan pendirian yang turut disuarakan oleh Jeffrey dan Presiden SAPP Yong Teck Lee.

Terrence Siambun

Pada 22 Feb, The Star yang memetik sumber dalaman melaporkan, Jeffrey dan PBS - yang diketuai oleh Pemangku Presiden, Dr Joachim Gunsalam - mendesak parti mereka bertanding sehingga 25 kerusi yang diperuntukkan untuk masyarakat asli Kadazandusun, Murut, dan Rungus di bawah panji-panji GRS.

Laporan itu menyatakan bahawa rundingan untuk kerusi yang tidak dipegang oleh GRS pada masa ini juga sukar kerana sokongan yang semakin meningkat untuk gabungan itu untuk membentuk pakatan pilihan raya yang menyerupai gabungan persekutuan Madani.

Pada masa ini, GRS menguasai 42 kerusi, manakala PH Sabah tujuh.

Setiausaha Agung GRS Masidi Manjun yang merupakan salah seorang yang terlibat dalam skandal video itu mendakwa beberapa pemimpin parti sibuk dengan persidangan parlimen semasa.

Tambahnya, tiada tarikh alternatif ditetapkan untuk mesyuarat itu.

"Kami tidak tergesa-gesa," katanya kepada The Star.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen