Pembangkang hari ini menganggap anggapan kerajaan bahawa penggubalan Rang Undang-undang (RUU) Perkhidmatan Parlimen sebagai "ibu segala reformasi" sebagai berpotensi untuk merosakkan masa depan negara.
Bercakap kepada media di parlimen hari ini, Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin secara sinis berkata dia 'kagum' dengan keyakinan ditunjukkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Azalina Othman Said, semasa membentangkan RUU berkenaan pada Isnin lalu.
"Dia (Azalina) kata, this is a start of a new era (permulaan sebuah era baru) ... wow!
"(Dikatakan) Mother of all reform (Ibu segala reformasi) - Wow!
"Kalau inilah yang dikatakan the start of a new era, lingkup masa depan kita," katanya.
Kenyataan Hamzah itu dibuat merujuk kepada pembentangan RUU Perkhidmatan Parlimen untuk bacaan kali pertama sebagai langkah awal menggubal suatu akta khusus bagi memulihkan kebebasan pentadbiran institusi itu.
Melalui RUU tersebut kerajaan mahu memastikan pengasingan kuasa secara demokratik dilaksanakan dengan memastikan parlimen berkuasa ke atas hal ehwal sendiri, dan bukannya bergantung kepada cabang eksekutif.
Majoriti didakwa tak setuju
Ia akan mewujudkan perkhidmatan berasingan untuk parlimen dan bebas daripada sistem perkhidmatan awam.
Akta itu - jika diluluskan nanti - membolehkan parlimen menyediakan kakitangan tambahan untuk Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Mereka akan dilantik daripada perkhidmatan awam am dan memegang jawatan sehingga umur persaraan wajib.
Majlis Perkhidmatan Parlimen akan dipengerusikan oleh Yang di-Pertua Dewan Negara dan Speaker Dewan Rakyat menjadi sebagai pengerusi bersama, diikuti oleh timbalan yang dipertua dan timbalan speaker.
Majlis itu akan merangkumi dua ahli Dewan Negara dan empat ahli Dewan Rakyat serta kerani kedua-dua dewan dan pegawai kerajaan yang lain.
Kata Hamzah langkah diambil kerajaan itu tidak boleh dianggap sebagai ibu segala reformasi kerana menurut pandangannya ia hanya melibatkan aspek mencari kakitangan untuk berkhidmat di parlimen.
"Kuasa untuk mencari staf (saja), eh, itu kamu kata ibu segala reformasi? Apa cerita ni?" katanya lagi.

Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut mendakwa cadangan berkenaan pengurusan pentadbiran kakitangan parlimen pernah dibawa oleh Azhar Harun sewaktu dia menjadi Speaker Dewan Rakyat.
Hasil perbincangan yang dijalankan, dakwa Hamzah, 70 peratus daripada kakitangan parlimen tidak bersetuju.
"Kalau (kerajaan) nak lakukan semata-mata untuk kepentingan kakitangan, bukan macam itu caranya.
"Kita kena lihat masa depan mereka juga," katanya sambil menambah, antara kebimbangan mereka ialah peluang kenaikan pangkat dan faedah perkhidmatan.

