Selepas 17 tahun beroperasi blog aktivis Hishamuddin Rais Tukar Tiub disekat atas alasan melanggar garis panduan komuniti Blogger, penyedia perkhidmatan milik Google.
Setakat ini belum jelas garis panduan apa yang dilanggar.
Bagaimanapun dia dibenar membuat permohonan semakan semula.
Mempersoalkan “kerja siapa”, Hishamuddin bagaimanapun menganggap apa yang terjadi sebagai petanda baik.
“Jika musuh tidak menyerang itu tanda tidak baik–ertinya yang dibuat tidak efektif malah palat– musuh tak ambil pot,” katanya melalui pesanan teks.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan maklumat lanjut berkaitan sekatan itu.
Tukar Tiub memaparkan ulasannya berkaitan pelbagai isu politik dan perkembangan semasa.
Jelas Hishamuddin dia tidak berputus asa dengan apa yang terjadi dan akan terus bersuara bagi menyampaikan pandangannya mengenai politik.
Katanya, ini bukan kali pertama blog yang dikendalikannya itu ditutup, malah Tukar Tiub pernah disekat ketika era pentadbiran bekas perdana menteri Najib Razak.
Bagaimanapun blog berkenaan bernafas kembali selepas Najib tumbang dalam pilihan raya umum ke-14.
"Ini bukan kali pertama blog ini disekat, pernah disekat ketika Najib menjadi perdana menteri.
“Bagaimanapun 'hidup' kembali selepas kejatuhan Najib," katanya lagi.
Malaysiakini sedang cuba mendapatkan maklum balas Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) berkaitan sekatan itu.

