PARLIMEN | Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata wakil kerajaan dalam lembaga Majlis Media Malaysia akan terdiri daripada individu dalam industri media.
Menurutnya, wakil kerajaan yang akan dilantik kemungkinan besar daripada agensi berita nasional Bernama atau penyiaran nasional Radio Televisyen Malaysia (RTM).
"Kami percaya bahawa kakitangan daripada Bernama dan juga RTM ini mereka juga boleh bawa suara industri ke lembaga MMM.
"Kami percaya kakitangan kerajaan akan bersifat secara professional dan akan mewakili, bukan sahaja kerajaan tetapi juga buat terbaiklah untuk industri media," katanya ketika membentangkan Rang Undang-Undang Majlis Media 2024 di Dewan Rakyat hari ini.

Sebelum ini, pengkritik menyorot Seksyen 8(1)(b) dalam rang undang-undang tersebut, yang mewajibkan pelantikan dua wakil kerajaan ke dalam lembaga majlis.
Kedua-dua pegawai ini akan dicalonkan oleh menteri komunikasi dan berfungsi untuk mewakili kepentingan kerajaan—sesuatu yang dikhuatiri boleh menjejaskan kebebasan majlis tersebut.
Rang undang-undang ini diluluskan dalam bacaan kedua dan ketiga di Dewan Rakyat hari ini.
Teo turut menjelaskan kehadiran pegawai Kementerian Kewangan dalam lembaga majlis berperanan untuk mengawasi hal ehwal kewangan berkaitan peruntukan kerajaan.

"Wakil kerajaan daripada Kementerian Kewangan juga wajar berada dalam lembaga Majlis Media Malaysia (MMM) bagi memantau penggunaan peruntukan dan hal ehwal kewangan majlis media dan sekiranya majlis media ini tidak lagi menerima sebarang peruntukan daripada kerajaan mereka tidak lagi perlu ada wakil kerajaan daripada Kementerian Kewangan," katanya.
Majlis Media: 52 tahun tertangguh
Sementara itu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil pada sidang media selepas rang undang-undang itu diluluskan, menyatakan idea penubuhan Majlis Media Malaysia telah diusulkan sejak tahun 1973.
"Maka apa yang kita laksanakan pada hari ini, boleh dikatakan tertunda 52 tahun," katanya.
Sejak sekian lama, kumpulan masyarakat sivil dan industri berita telah memperjuangkan pengawalseliaan sendiri melalui majlis media, bagi menggantikan undang-undang ketat yang digunakan untuk mengawal media.
Fahmi turut menyuarakan harapannya agar Majlis Media Malaysia dapat ditubuhkan menjelang pertengahan tahun ini.

