malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Hajiji pamer sikap antipersekutuan, dakwa PN Sabah
Diterbitkan:  Feb 26, 2025 6:24 PM
Dikemaskini: 10:24 AM
ADS

Kenyataan yang dibuat Hajiji Noor apabila dia menyasarkan "pemimpin luar", kata PN Sabah, menunjukkan sikap sebenar ketua menteri berkenaan terhadap Malaysia, selain terpisah daripada realiti.

Setiausaha Bersatu Sabah, Yunus Nurdin (gambar), berkata pihaknya amat kesal dengan pandangan dibuat Hajiji dan menegaskan mereka berhak menjalankan kegiatan politik di negeri tersebut sesuai dengan kedudukannya sebagai parti berdaftar.

"Ketua Menteri Sabah semalam yang berkata 'pemimpin luar datang ke sini (Sabah) kononnya mahu kasi bagus Sabah. Apa mereka tahu, temberang saja'.

"Kenyataan itu memperlihatkan sifat antipersekutuan sebenar Hajiji.

"PN Sabah sangat kesal kenyataan sebegini boleh keluar dari mulut seorang ketua menteri," katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam media memetik Hajiji sebagai berkata parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yakin mereka mampu mendapat mandat daripada rakyat dalam pilihan raya negeri (PRN) yang akan diadakan tidak lama lagi.

Menurut Hajiji, hal itu kerana pencapaian kerajaan GRS begitu baik dan meyakinkan rakyat Sabah.

Pihak yang gagal, kata ketua menteri tersebut, ialah kumpulan "pecacai" yang menuduh kerajaan negeri.

“Ada lagi pemimpin datang kononnya mahu kasi bagus Sabah. Saya tidak tahu dari mana, tapi apa mereka tahu? Datang dari luar ke sini, temberang saja,” katanya dipetik portal berita setempat di Kundasang semalam.

Sabah bakal mengadakan PRN tidak lama lagi ekoran penggal semasa bakal tamat. Kali terakhir negeri itu mengadakan PRN ialah pada 26 Sept 2020.

Perkembangan itu dilatari oleh dakwaan skandal rasuah yang melibatkan beberapa orang Adun kerajaan, termasuk Hajiji. Bagaimanapun bekas pemimpin Usno, Umno dan Bersatu itu menafikan tuduhan tersebut dan menganggapnya cubaan melemahkan kerajaan negeri.

Kata Yunus, negara ini mengamalkan sistem politik demokrasi dan persekutuan, justeru tiada sesiapa boleh menghalang seseorang dari negeri lain berkunjung ke Sabah.

Bersatu dan PN pula, katanya, merupakan sebuah parti berdaftar dan berhak untuk melakukan kegiatan seperti jelajah politik termasuk di negeri tersebut kerana rakyat berhak untuk menilai prestasi GRS sejak lima tahun lalu.

Pada masa sama, menurut Yunus, sudah ternyata kerajaan negeri gagal menangani masalah bekalan air bersih, lampu dan jalan raya di Sabah sehingga menyulitkan orang ramai.

"Isu pendedahan video skandal rasuah Adun Sabah juga pastinya akan menghantui GRS menjelang PRN ini.

"GRS bukan berdiri di dunia politik yang nyata jika isu-isu ini mereka anggap sebagai temberang.

"Hajiji tidak perlu perlihatkan sifat antipersekutuan terpilihnya terhadap PN," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen