PARLIMEN | Beberapa ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) hari ini memetik Malaysiakini dalam perbahasan mereka bagi mempertahankan kebebasan media di negara ini.
Antara mereka ialah Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari dan Abdul Latiff Abdul Rahman (Kuala Krai), yang mengkritik kerajaan kerana melancarkan siasatan jenayah terhadap agensi media.
Dalam perbahasan Rang Undang-Undang Majlis Media Malaysia, Fadhli, yang juga ketua Penerangan PAS, menyalahkan tindakan pihak berkuasa sebagai punca kejatuhan kedudukan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Media Dunia 2024 oleh Reporters Without Borders (RSF).
"Kenapa Malaysia melonjak naik pada 2023 berbanding 2022 kerana mengikut kata RSF, kita melonjak naik pada ketika itu kerana mood dan harapan terhadap kerajaan baru pada 2023.

"Tetapi merudum pada tahun selepasnya, pada laporan 2023 kerana peningkatan tekanan politik pada media, penapisan kandungan dalam talian, penggunaan undang-undang untuk menekan wartawan, siasatan polis ke atas Malaysiakini dan Malaysianow," katanya.
Fadhli kemudian menyoal usaha kerajaan dalam meningkatkan kedudukan Malaysia di peringkat global.
Dilaporkan pada Mei tahun lalu Malaysia berada di kedudukan ke-107 dalam Indeks Kebebasan Media Dunia RSF 2024, jatuh 34 anak tangga daripada kedudukan ke-73 pada 2023.
Sementara itu, Abdul Latiff memetik tindakan polis merampas komputer riba milik editor eksekutif Malaysiakini, RK Anand pada Januari lalu.

Rampasan itu sebahagian daripada siasatan terhadap bekas menteri, Khairy Jamaluddin berhubung kenyataannya dalam podcast "Keluar Sekejap", yang telah dipetik oleh Malaysiakini pada satu artikel.
"Malah insiden seperti rampasan komputer riba daripada wartawan dalam kes membabitkan editor eksekutif Malaysiakini juga berpotensi mewujudkan precedent (duluan) berbahaya sehingga mengancam kebebasan media.
"Adakah kerajaan turut menjalankan post mortem tentang implikasi tindakan pihak berkuasa dan siasatan berterusan yg mensasarkan wartawan hanya kerana memetik kenyataan pihak lain dalam platform awam," soalnya.
Malaysiakini disebut dalam perbahasan parlimen
Malaysiakini sering menjadi rujukan popular bagi ahli parlimen yang ingin membahaskan isu semasa di Dewan Rakyat.
Pada sesi hari ini, perdebatan hangat tercetus antara beberapa ahli parlimen PH dan PN selepas Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) membangkitkan laporan khas Malaysiakini mengenai "sungai merah" di Kelantan.
Laporan itu menumpukan kepada pencemaran logam berat dalam kalangan Orang Asli di Gua Musang, Kelantan, yang disyaki berpunca daripada aktiviti perlombongan bijih besi.
Sambil memuji Malaysiakini atas laporan penyiasatan cemerlang yang menyoroti penderitaan Orang Asli, Khoo melabel kerajaan negeri Kelantan sebagai 'zalim' kerana membenarkan aktiviti tersebut berlaku.
Kenyataan itu mencetuskan rasa tidak puas hati di kalangan wakil PN, khususnya daripada PAS, yang menuntut agar ahli parlimen DAP itu menarik balik kenyataannya.