Presiden MCA, Wee Ka Siong, menjelaskan dia hanya menyuarakan kebimbangan akar umbi apabila membangkitkan isu mengenai dakwaan rancangan untuk membuang nama Cina dari pintu gerbang Jalan Petaling di Kuala Lumpur.
Wee mendakwa lawan politiknya memutarbelitkan kenyataannya dengan menuduhnya mengada-adakan dakwaan tersebut.
Dalam sebuah video yang dimuat naik di akaun media sosial berbahasa Cinanya semalam, Wee menjelaskan isu itu dibangkitkan semasa sambutan Tahun Baru Cina yang dianjurkan oleh para peniaga Jalan Petaling pada Ahad, di mana dia dijemput hadir.
Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Kuala Lumpur, Ang Say Tee mengemukakan isu itu dalam ucapan aluannya.
"Saya sangat bimbang sekarang. Pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) beritahu saya bahawa nama Cina di Petaling Street mungkin akan dibuang.
"Mereka masih mempertimbangkannya dan belum buat keputusan. Saya harap MCA atau kerajaan perpaduan dapat bantu kami memperjuangkan... tidak banyak, hanya tiga perkataan (dalam bahasa Cina), supaya ia dapat dikekalkan di Petaling Street selama-lamanya," kata Ang, berdasarkan klip yang disertakan dalam video Wee.
Ang juga memberitahu Oriental Daily bahawa DBKL mencadangkan nama dalam bahasa Cina itu dipadam dalam satu mesyuarat pada Jun tahun lalu, dan mengatakan masyarakat Cina perlu bersedia dengan kemungkinan itu walaupun cadangan tersebut belum diluluskan, bagi mengelakkan sebarang keputusan yang tidak dijangka.

Dalam ucapannya, Wee berjanji MCA tidak akan membiarkan perkara itu berlaku dengan menyifatkan ia sebagai tidak adil.
Pada masa yang sama, dia menjelaskan undang-undang berkaitan papan tanda sedia ada membenarkan nama Cina dikekalkan di pintu gerbang selagi ia lebih kecil daripada nama dalam bahasa Melayu.
Wee juga mempertahankan Ang, dengan menyatakan adalah wajar bagi seorang pemimpin masyarakat menyuarakan kebimbangannya dan menggesa pemimpin politik serta kerajaan menangani perkara itu.
"Oleh itu, saya telah memberikan respons. Apa yang salah dengan itu? Apabila masyarakat akar umbi membangkitkan isu, adakah saya patut mengelak dan pura-pura tidak tahu?" katanya.
Wee berkata demikian pada Ahad bagi menjawab dakwaan terdapat cadangan untuk membuang perkataan Cina “茨廠街” pada pintu gerbang ikonik Jalan Petaling.
Perkataan tersebut secara literal bermaksud "Jalan Kilang Ubi Kayu", merujuk kepada kilang tepung ubi kayu yang ditubuhkan oleh Yap Ah Loy, yang membantu membangunkan Kuala Lumpur sebagai sebuah penempatan perlombongan bijih timah.
Bagaimanapun, DBKL mengeluarkan kenyataan pada Isnnin menafikan rancangan atau cadangan untuk membuang atau mengubah aksara Cina pada pintu gerbang tersebut.
Penafian itu turut membawa kepada kecaman terhadap Wee, yang dalam videonya berkata sekurang-kurangnya 11 tokoh politik, termasuk menteri, mendesaknya meletak jawatan, memohon maaf, atau membuat pengakuan atas dakwaan mengeluarkan kenyataan palsu.

