malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
AGC henti prosiding terhadap penganjur demo antirasuah Sabah
Diterbitkan:  Feb 25, 2025 8:15 PM
Dikemaskini: 12:33 PM
ADS

Jabatan Peguam Negara (AGC) berkata ia akan menghentikan prosiding terhadap mereka yang terlibat dalam protes antirasuah yang diadakan di Kota Kinabalu, Sabah pada malam tahun baru, tahun lepas.

“Jabatan ini, setelah membuat pertimbangan yang teliti, memutuskan untuk tidak meneruskan dengan pertuduhan dan memberhentikan prosiding ke atas individu-individu yang terlibat selaras dengan Seksyen 254 Kanun Prosedur Jenayah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Seksyen 254 Kanun Prosedur Jenayah menetapkan bahawa pendakwa raya boleh menghentikan prosiding pada bila-bila masa perbicaraan sebelum mahkamah memberikan penghakimannya, selepas itu tertuduh akan diberikan pelepasan tanpa pembebasan melainkan mahkamah mengarahkan sebaliknya.

Kenyataan AGC tidak menjelaskan mengapa prosiding telah dihentikan.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan pada 13 Feb bahawa kerajaan bercadang untuk meminda Seksyen 11 Akta Perhimpunan Aman 2012 dan mengenakan moratorium ke atas semua siasatan yang sedang dijalankan di bawah peruntukan itu.

Meski selepas pengumuman moratorium itu, aktivis pelajar Fadhil Kasim, yang menyelaras perhimpunan Gempur Rasuah Sabah, berkata polis tetap menyerahkan notis kepadanya Jumaat lalu menyatakan dia akan didakwa di mahkamah pada April.

Ia menyatakan bahawa dia akan didakwa mengikut Seksyen 9(5) Akta Perhumpunan Aman dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan. Malaysiakini dimaklumkan bahawa pertuduhan di bawah Seksyen 509 adalah berkaitan ucapan Fadhil di mana dia didakwa menghina Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Sabah Musa Aman.

Peruntukan di bawah Akta Perhimpunan Aman menetapkan hukuman bagi kegagalan memberi notis perhimpunan manakala Seksyen 509 Kanun Keseksaan menghukum kesalahan penggunaan perkataan atau isyarat untuk menghina kehormatan seseorang.

Fadhil sebelum ini menyatakan rasa kecewa terhadap keputusan AGC untuk meneruskan pendakwaan.

Protes Gempur Rasuah Sabah pada 31 Dis 2024, melibatkan kira-kira 50 orang membantah di luar berhampiran Menara Kinabalu. Mereka berdemonstrasi menentang skandal rasuah di negeri itu serta pelantikan Musa sebagai Tuan Yang Terutama.

Kumpulan pelajar itu telah memfailkan notis kepada polis sebelum perhimpunan itu, tetapi polis mendakwa ia tidak memenuhi syarat di bawah Akta Perhimpunan Aman.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen