Pemuda Umno akan mengambil kesempatan atas kedudukan Malaysia sebagai pengerusi Asean untuk menganjurkan perhimpunan sayap parti-parti politik di rantau Asean.
Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh berkata, perkara itu dibincangkan dalam pertemuan sayap parti itu dengan Angkatan Muda Parti Golkar (AMPG) dari Indonesia, hari ini.
Dr Akmal berkata, perhimpunan itu akan menjemput semua pemimpin pemuda parti politik termasuk parti pembangkang.
"Kita bercadang untuk mengadakan perhimpunan pemimpin pemuda Asean, kita kumpulkan pemimpin politik untuk bincang isu anak muda.
"Kita akan jemput semua pemimpin pemuda sama ada pembangkang atau kerajaan.
"Isu orang muda isu rentas parti politik," katanya pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan deligasi AMPG hari ini.
Deligasi AMPG diketuai oleh ketua umumnya Syed Adi Al Idrus. Pertemuan itu turut disertai Ketua Puteri Umno, Nurul Amal Mohd Fauzi.
Dr Akmal berkata Pemuda Umno akan mengepalai perhimpunan yang dirancang untuk diadakan tahun ini.
Banyak isu anak muda yang akan dibangkitkan dan boleh diketengahkan dalam perhimpunan itu nanti termasuk aspek pendidikan dan pekerjaan.
Mengulas mengenai pertemuan sayap parti itu dengan AMPG, Dr Akmal berkata banyak perkara dibangkitkan dalam pertemuan itu.
Sudah tentu pengalaman politik menjadi perkongsian kerana Umno dan Golkar mempunyai peranan yang sama kilang melahirkan pemimpin buat negara masing-masing.
Golkar adalah parti kedua terbesar dalam parlimen Indonesia–Dewan Perwakilan Rakyat atau DPR–dan antara pendukung penting pentadbiran Presiden Prabowo Subianto.

