PARLIMEN | Dalam minggu terakhir tempoh interim tiga bulan sebelum pelaksanaan waktu kerja 45 jam seminggu bagi kakitangan syif, Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad merayu kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) agar diberikan lebih masa untuk perbincangan lanjut.
Dzulkefly dalam ucapan penggulungan Kementerian Kesihaatan menjawab isu berkaitan yang dibangkitkan semasa perbahasan titah diraja serta soalan tambahan daripada ahli parlimen hari ini.
"Saya menginsafi, saya sangat sedar dan insaf akan keresahan, keluh kesahnya pelbagai pihak, banyak suarakan (kebimbangan) khususnya oleh barisan jururawat," kata Dzulkefly, merujuk kepada bantahan terhadap arahan baru di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang akan meningkatkan waktu bekerja minggua dari 42 jam ke 45 jam.
Arahan itu sepatutnya berkuat kuasa pada 1 Disember tahun lalu, namun tempoh interim selama tiga bulan diberikan oleh JPA untuk perbincangan lanjut.

Dzulkefly hari ini menegaskan lebih banyak masa diperlukan bagi rundingan selepas tempoh interim ini berakhir.
"Kerja syif berbeza dengan kerja pejabat atau waktu pejabat.
"Justeru dengan itu juga KKM masih lagi berhajat untuk memohon interim ini atau pun moratorium ini diberikan kepada kami agar kami dapat laksanakan waktu bekerja (45 jam) yang diminta ini untuk kita melihat beberapa perkara yang terkait dengan kebajikan, dengan tekanan kerja dan sebagainya jururawat khususnya dan skim yang lain yang terlibat dengan waktu kerja syif ini.
"Kami mengharapkan kita akan dapat mengharmonikan tuntutan ini dengan tuntutan jururawat atau pun dengan program kejururawatan," katanya memberi maklum balas terhadap perbahasan oleh Suhaizan Kaiat (PH-Pulai), Khoo Poay Teong (PH-Kota Melaka), Dr Mohd Yunus Hairi (PN-Kuala Langat), dan Dr Alias Razak (PN-Kuala Nerus).
Jelas Dzulkefly isu yang perlu dibincangkan lebih lanjut termasuk kebajikan kakitangan dan beban kerja, khususnya jururawat.
Dia berkata sepanjang tempoh interim tiga bulan ini, dia telah mengadakan pelbagai sesi libat urus dengan pihak berkepentingan bagi mencari penyelesaian menyeluruh – termasuk pertemuan dengan kesatuan jururawat pada 20 Februari lalu – namun perbincangan lanjut dengan JPA masih diperlukan mengenai maksud sebenar konsep "42 campur 3 jam".
"Saya masih lagi mahu rundingan dibuat dengan pihak JPA, apakah ertinya 42 tambah 3 jam itu, apakah kita masih menimbang yang menjadi keluh kesah pihak atau pun jururawat?
"Atau pun tenaga kerja kami penambahan (waktu kerja) 45 jam itu, saya sangat sedar dan insaf akan bebanan pekerja ini kalau ditambah.
"Justeru dengan itu saya masih mengambil sikap untuk berunding di pihak JPA supaya apa pun sebenar-benarnya jururawat ini telah pun bekerja lebih daripada 42 jam seminggu sejak sekian lama kerana hal terkait rehat mereka itu tidak diambil kira," katanya.
Sebelum ini, portal kesihatan CodeBlue melaporkan minggu kerja 45 jam bagi jururawat di Malaysia lebih panjang berbanding negara lain seperti Singapura (minimum 38 jam hingga maksimum 42 jam), Indonesia (40 jam) dan Perkhidmatan Kesihatan Nasional (NHS) United Kingdom (38.5 jam).