malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Najib tak beri tekanan pada juruaudit 1MDB - bekas pengerusi
ADS

BICARA 1MDB | Najib Razak tidak memberi tekanan kepada rakan kongsi pengurusan KPMG, Johan Idris untuk meluluskan penyata kewangan 1MDB hampir 22 tahun lalu, menurut keterangan bekas pengerusi syarikat pelaburan negara Malaysia itu.

Saksi pembelaan, Che Lodin Wok Kamaruddin memberitahu Mahkamah Tinggi di Putrajaya petang ini bekas perdana menteri itu hanya membuat permintaan secara sopan agar juru audit menandatangani penyata kewangan 1MDB.

Keterangan Lodin bercanggah dengan kenyataan Johan sebelum ini yang mendakwa dia berasa ditekan oleh Najib semasa pertemuan di kediaman bekas menteri kewangan itu di Langgak Duta pada 31 Disember 2013.

Semasa pemeriksaan utama oleh peguam Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin hari ini, Lodin menceritakan semula apa yang berlaku dalam pertemuan yang turut dihadirinya.

ADS

Aiman: Apa pandangan anda mengenai dakwaan Najib mengarahkan KPMG untuk meluluskan penyata kewangan 1MDB bagi tahun 2013 tanpa dokumen penting dan seterusnya menamatkan khidmat mereka kerana enggan mematuhi arahan?

Lodin: Saya tidak bersetuju. Minit mesyuarat itu rekod tepat tentang apa yang dibincangkan, dan seperti yang boleh dilihat dalam minit tersebut (yang disediakan oleh Johan), perdana menteri ketika itu, Najib, hanya menyatakan dia mahu penyata kewangan ditandatangani sebelum 31 Disember 2013. Untuk memudahkan proses itu, dia mencadangkan agar KPMG pergi ke Hong Kong bagi mendapatkan pengesahan yang diperlukan untuk melengkapkan audit.

Aiman: Apa pandangan anda mengenai dakwaan saksi pendakwaan ke-14, Johan Idris, yang mengatakan Najib menekannya dengan menyebut “dia mahu penyata kewangan ditandatangani sebelum 31 Disember 2013”?

Lodin: Saya melihatnya sebagai permintaan sopan oleh Najib, bukan beri tekanan dan ini tercermin dengan jelas dalam minit mesyuarat yang disediakan oleh Johan.

Dalam perbicaraan kes penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram bernilai RM2.27 bilion melibatkan 1MDB hari ini, keterangan lisan Lodin menyokong kenyataan Najib sebelum ini yang menafikan pernah memberi tekanan kepada Johan mengenai isu tersebut.

Lodin turut memberi keterangan, keputusan menyingkirkan KPMG sebagai juruaudit 1MDB dan menggantikannya dengan firma audit lain, Deloitte, dibuat oleh lembaga pengarah 1MDB sendiri.

Sebelum KPMG disingkirkan pada Disember 2013, firma itu tetap bertegas untuk tidak meluluskan penyata kewangan 1MDB.

Kes prima facie terhadap Najib

Pada 30 Oktober tahun lalu, mahkamah jenayah mengarahkan Najib membela diri terhadap empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM2.27 bilion daripada 1MDB.

Hakim perbicaraan, Collin Lawrence Sequerah, memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Najib berdasarkan kekuatan lebih 50 keterangan saksi.

Antara awal Disember tahun lalu hingga akhir Januari tahun ini, Najib menghabiskan 26 hari di kandang saksi bagi mencuba menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Tertuduh menegaskan dia tidak mempunyai pengetahuan atau penglibatan dalam sebarang salah laku di 1MDB, sebaliknya mendakwa semua penyelewengan di syarikat itu didalangi oleh ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho (Jho Low), bersama beberapa anggota pengurusan 1MDB.

ADS

Bekas ahli parlimen Pekan itu juga menggunakan pembelaan dia dijanjikan sumbangan derma oleh Almarhum Raja Arab Saudi, Raja Abdullah, semasa pertemuan mereka di Riyadh pada 2010.

Najib kini sedang menjalani hukuman penjara enam tahun sejak Ogos 2022 berhubung kes rasuah berasingan melibatkan RM42 juta daripada SRC International, bekas anak syarikat 1MDB.

Syarikat pelaburan negara itu pada asalnya ditubuhkan untuk memastikan pembangunan mampan jangka panjang serta menjaga kesejahteraan ekonomi rakyat Malaysia.

Kedua-dua 1MDB dan SRC dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen