malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Lim: Wang RM1 bilion 1MDB itu boleh dapat balik?
Diterbitkan:  Feb 25, 2025 1:16 PM
Dikemaskini: 6:43 AM
ADS

Ringkasan

  • Bekas menteri kewangan bertanya sama ada wang AS$248 juta akan diperoleh semula selepas 1MDB menarik balik saman terhadap anak tiri Najib, Riza Aziz. 

  • Kepentingan awam memerlukan penjelasan lengkap, kata pemimpin DAP itu.


Bekas menteri kewangan Lim Guan Eng mempersoalkan sama ada rakyat Malaysia akan mendapat semula AS$248 juta (RM1.09 bilion) selepas 1MDB menarik balik tuntutan sivil terhadap anak tiri Najib Abdul Razak.

Lim yang juga pengerusi DAP berkata tiada alasan diberikan untuk penarikan balik saman terhadap Riza Shahriz Abdul Aziz.

“SPRM sebelum ini berkata Riza dan peguamnya sedang berusaha ke arah penyelesaian global bagi pemulangan AS$248 juta.  

“Bagaimanapun, tiada butiran didedahkan tentang bagaimana pemulangan ini akan dilaksanakan.

“Dengan penyelesaian bersama Goldman Sachs kini dipertikaikan, kepentingan awam memerlukan penjelasan lengkap tentang bagaimana rakyat Malaysia akan mendapat semula AS$248 juta daripada Riza Aziz,” katanya dalam kenyataan.

Lim Guan Eng

Lim berkata, kerajaan sebelum ini mendakwa Goldman Sachs membenarkan penyalahgunaan dan rasuah sebanyak AS$4.5 bilion daripada AS$6.5 bilion bon yang dikumpulkan untuk 1MDB pada tahun 2012 dan 2013.

“Pada tahun 2020, kerajaan Malaysia dan Goldman Sachs mencapai penyelesaian, yang memerlukan Goldman Sachs membayar AS$2.5 bilion sambil menjamin pemulangan AS$1.4 bilion aset 1MDB yang dirampas oleh pihak berkuasa di seluruh dunia, sebagai pertukaran untuk Malaysia menarik balik tuduhan terhadap bank itu.  

“Sehingga kini, Goldman Sachs belum menunaikan kewajipannya bawah penyelesaian itu,” tambahnya.

Semalam, dilaporkan bahawa 1MDB menarik balik saman sivil AS$248 juta terhadap Riza dan syarikat-syarikatnya semasa prosiding di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Peguam utama 1MDB, Rabindra S Nathan dari Tetuan Shearn Delamore, memberitahu mahkamah bahawa dia menerima arahan daripada dana kekayaan negara itu untuk menarik balik kes.

Prosedur 1MDB terhadap Riza, Red Granite Pictures Incorporated, dan Red Granite Capital Limited bermula pada 16 Oktober tahun lalu, dengan pembelaan Riza bermula minggu lepas.

Minggu lepas, prosiding menyaksikan Pengarah Operasi Khas SPRM Zamri Zainul Abidin memberi keterangan untuk defendan Riza dan Red Granite.

Zamri dilaporkan memberi keterangan bahawa Riza menerima pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) bagi lima pertuduhan pengubahan wang haram untuk jumlah AS$248 juta yang sama.

Dia juga memberi keterangan bahawa dalam representasi yang dihantar ke Pejabat Peguam Negara, Riza dan peguamnya menyatakan mereka akan berusaha ke arah penyelesaian global bagi pemulangan AS$248 juta.

Red Granite Pictures, diasaskan bersama oleh Riza dan penerbit filem Amerika, Joey McFarland, menghasilkan filem pemenang Anugerah Akademi, The Wolf of Wall Street yang dibintangi  pelakon Hollywood terkenal Leonardo DiCaprio.

Pada 7 Mei 2021, 1MDB dan anak syarikatnya memfailkan saman terhadap Riza dan dua syarikatnya kerana didakwa menerima AS$248 juta dana 1MDB yang disalah guna.

Dana itu didakwa digunakan untuk keuntungan peribadi termasuk membiayai produksi filem dan membeli pelbagai hartanah.  


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen