Sabah Bersatu membangkitkan persoalan sama ada Ketua Menteri Hajiji Noor mencadangkan bahawa anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) yang terlibat dalam skandal rasuah adalah mangsa pencerobohan privasi.
“Adakah Hajiji Noor menuduh pihak yang merakam video itu bersalah kerana menceroboh privasi lapan Adun tersebut?
“Bahkan ‘pencerobohan privasi’ yang dikatakan beliau ibarat menyampaikan isyarat bahawa lapan Adun yang terbabit dalam rasuah sebaliknya merupakan mangsa,” kata Timbalan Ketua Sabah Bersatu Affan Jumahat.
Affan mengulas kenyataan Hajiji yang bercakap mengenai era “kemajuan teknologi rakaman” yang membolehkan sesuatu rakaman dibuat tanpa disedari.
“Kita berada dalam satu era yang dikuasai oleh kemajuan teknologi rakaman, setiap langkah dan tutur kata kita mungkin didengar atau dirakam tanpa kita sedari.
“Era yang saya sebut sebagai era pencerobohan privasi yang semakin berleluasa,” kata Hajiji dalam kenyataan media hari ini.

Affan menyatakan rasa terkejutnya terhadap apa yang digambarkannya sebagai ucapan “tidak masuk akal” yang disampaikan di hadapan ratusan penjawat awam.
Katanya kenyataan pemimpin Gagasan Rakyat Sabah (GRS) itu boleh menimbulkan kekeliruan dan memupuk persepsi berbahaya di kalangan orang awam.
“Maksudnya pada masa akan datang, jika masyarakat terutamanya rakyat Sabah ingin mendedahkan kegiatan rasuah, mereka tidak dibenarkan merakam video kerana melanggar ‘pencerobohan privasi’ yang dikatakan oleh Hajiji Noor,” katanya.
Affan juga menuduh ketua menteri cuba menegakkan benang yang basah sekali lagi.
“Ini bukan kali pertama Hajiji cuba mengalihkan kemarahan rakyat terhadap skandal rasuah ini,” katanya.
“Sebelum ini Hajiji juga dipetik berkata bahawa pengakuan transaksi wang yang di rakam dalam video tersebut sebagai penjanaan politik kerana wakil rakyatnya terpaksa berbuat demikian kerana gaji yang diterima oleh adun-adunnya tidak cukup untuk makan.”
Video-video itu, yang dirakam menggunakan kamera intipan berbentuk pen, didedahkan oleh seorang ahli perniagaan yang mengaku menyogok beberapa Adun untuk mendapatkan lesen penerokaan mineral.
Hajiji mendakwa pendedahan video it sebagai percubaan untuk melemahkan pentadbirannya dan menuduh ahli perniagaan itu bersekongkol dengan pihak-pihak yang mempunyai kepentingan.
Sebaliknya, ahli perniagaan itu dituduh terlibat dalam amalan penipuan untuk memonopoli aktiviti perlombongan di Sabah.

