Pemuda Umno melontarkan cadangan kepada pihak-pihak yang membicarakan soal perpaduan negara dengan idea supaya sekolah vernakular dimansuhkan jika sejarah semua kaum diajar bermula di sekolah rendah.
Exco Pemuda Umno, Wan Muhammad Zuhir Ghazali, berkata jika cadangan pembelajaran sejarah semua kaum benar-benar ikhlas bertujuan untuk memupuk perpaduan, maka begitu juga dengan silibus sekolah vernakular perlu ada kesepaduan.

"Kalau tujuannya untuk memupuk perpaduan, jadi perlu juga ada kesepaduan silibus dalam semua aliran sekolah. Perlu ada juga percampuran antara kaum dalam semua sekolah. Ini lebih awla, lebih utama dan konkrit.
"Bukan hanya selektif, asing-asing. Sekolah ikut bangsa tertentu, silibus belajar lain-lain. Bahkan subjek sejarah di sekolah vernakular pun tak diajar dalam bahasa kebangsaan," katanya dalam satu kenyataan.
Untuk rekod, sekolah-sekolah vernakular di negara ini tidak terasing mengikut kaum, malah, sekolah Cina dilaporkan semakin popular dan mendapat tempat di kalangan pelajar Melayu.

Minggu lalu adalah dilaporkan bahawa semua pelajar tahun satu yang mendaftar di SJKC Kong Aik di Mata Ayer, Perlis, bukan berbangsa Cina. Malah, 93 daripada 190 pelajar di sekolah itu adalah bangsa Melayu.
SJKC dan SJKT juga mengikuti sukatan pelajaran yang sama dengan sekolah kebangsaan.
Bagaimanapun, sekolah-sekolah swasta dan persendirian Cina mengikuti sukatan pelajaran yang berbeza.
Semalam, ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong dari DAP mencadangkan agar buku teks sejarah sekolah rendah memasukkan sejarah semua kaum di Malaysia.

Langkah sebegitu, katanya, akan membantu perpaduan rakyat dari usia muda.
“Sebagai contoh, tahun lalu kita menyambut ulang tahun ke-50 hubungan Malaysia dan China.
“Sebenarnya hubungan itu bermula apabila Laksamana Cheng Ho datang ke Melaka.
“Tetapi apabila saya menyemak buku teks sejarah sekolah rendah, ia tidak menyentuh perkara ini,” katanya kepada Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek di Dewan Rakyat.
Sebagai maklum balas, Fadhlina menjelaskan sukatan pelajaran sekolah ditentukan oleh jawatankuasa khas yang dianggotai pakar dan guru.

Jawatankuasa itu mesti memutuskan acara bersejarah yang sesuai untuk tahap pendidikan pelajar, katanya.
Sementara itu, Wan Muhammad Zuhir berkata, adalah tidak adil untuk mengajar teori semata-mata, namun tidak ada praktikal perpaduan bermula dari awal.
"Takkan hendak ajar teori sahaja, praktikan perpaduan dari awal pun tiada. Bergaul bercakap dalam satu bahasa yang sama, itu yang paling penting bentuk perpaduan.
"Kalau kami tuntut sekolah satu aliran dan mansuhkan sekolah vernakular kenapa kalian tak setuju?" soalnya.