PARLIMEN | Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, hari ini menjelaskan bahawa kecerdasan buatan (AI) TikTok telah mengharamkan secara kekal 23 akaun milik pelbagai organisasi media di negara ini.
Berdasarkan kenyataan itu, ia adalah berbeza daripada maklumat awal yang mendakwa sebanyak 18 akaun TikTok berkaitan organisasi media yang diharamkan secara kekal oleh penyedia perkhidmatan media sosial berkenaan.
“Kami cuba mendapatkan maklum balas daripada TikTok, kemungkinan besar ia (larangan) dikaitkan dengan video kes cabul di sebuah masjid di Batang Kali baru-baru ini.
"Saya telah meminta TikTok untuk memberikan penjelasan," katanya di Dewan Rakyat.
Fahmi yang juga jurucakap kerajaan berkata demikian sebagai menjawab soalan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) yang mencelah semasa ucapan penggulungan kementeriannya bagi menjunjung kasih titah diraja.
Menurut Fahmi, pelbagai organisasi media percaya mereka tidak menyalahi mana-mana etika yang ditetapkan kerana tiada satu pun video dimuat naik menunjukkan dengan jelas imej kanak-kanak terbabit.
"Tetapi video itu secara automatik disekat oleh AI TikTok.
"Jadi penggunaan AI, ada ketikanya ia boleh membantu tetapi kadangkala ia boleh menimbulkan sekatan (tidak wajar)," kata Fahmi, sambil menambah sebahagian daripada usaha kementerian komunikasi ialah memaklumkan TikTok tentang kod etika media.
Sementara itu, Fahmi berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) pada awal hari ini telah bertemu dengan Facebook untuk membincangkan pelbagai isu berkaitan AI, termasuk video pemalsuan individu terkenal yang disunting untuk mempromosikan sindiket penipuan dalam talian.
Antara lain, tokoh yang terkait dengan penipan AI berkenaan ialah Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, yang kononnya mempromosikan skim pelaburan meragukan dan dimuat naik di Facebook.