PARLIMEN | Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, hari ini menegaskan dakwaan berkaitan fitnah atau tuduhan tidak berasas oleh seorang ahli politik sepatutnya dilihat sebagai isu individu, bukan parti yang diwakilinya.
Dalam ucapan penggulungan kementeriannya, Fahmi menjawab isu berkaitan yang dibangkitkan semasa perbahasan titah diraja.
"Isu (fitnah ini) merentasi parti...semua YB harus jadi contoh.
"Saya terkesan dengan khutbah dibaca di negeri Perak baru-baru ini ingatkan elak sebar fitnah.

"Harap semua semak sebelum sebar, pastikan benar-benar sepupu," kata menteri itu.
Fahmi secara sinis merujuk kepada Siti Mastura Muhammad (PN-Kepala Batas).
Pada Disember lalu, PAS melancarkan kutipan derma bagi membantu Mastura membayar ganti rugi sebanyak RM825,000 kepada tiga pemimpin DAP selepas dia kalah dalam kes saman fitnah.
Mastura sebelum ini mendakwa Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng mempunyai kaitan dengan pemimpin Parti Komunis Malaya (CPM), Chin Peng serta mendakwa Teresa Kok juga mempunyai hubungan dengan keluarga Lim.

Fahmi memberikan respons kepada RSN Rayer (PH-Jelutong) dan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas), yang bertikam lidah sebentar mengenai ahli politik yang diperintahkan membayar pampasan selepas didapati bersalah memfitnah oleh mahkamah.
Rayer bertanya seberapa cepat tindakan boleh diambil terhadap ucapan yang didakwa mengandungi unsur fitnah, dengan merujuk tuduhan Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria terhadap Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
"Jadi, persoalan saya, kita lihat pihak lawan terutamanya PAS sentiasa mengulangi (fitnah) walaupun disaman berulang kali. Tapi anehnya mereka dapat kutip wang untuk bayar pampasan.
"Ada orang yang boleh bayar pampasan, walaupun fitnah, walaupun ada pemimpin mereka menasihatkan jangan main fitnah," kata Rayer yang mendakwa DAP sering menjadi sasaran fitnah oleh pemimpin PAS.

Sebagai respons, Fadhli menegaskan DAP juga pernah mengadakan kutipan dana untuk membantu pemimpin mereka sendiri.
Ketua Penerangan PAS itu turut memetik insiden terdahulu yang melibatkan pemimpin PH, seperti kutipan dana yang dilancarkan oleh Menteri Ekonomi Rafizi Ramli, pada tahun 2017 bagi membayar pampasan dan kos saman fitnah berkaitan kes National Feedlot Corporation (NFC).
"Soal fitnah dan perkara tak betul ini bukan parti tapi individu," tegas Fadhli sambil bertanya sama ada Fahmi bersetuju dengan pandangannya.
Fahmi kemudian mempertegas isu fitnah merentas parti.
Tetapi tidak boleh dinafikan beberapa pemimpin dari parti tertentu kerap kali perlu membayar denda kerana fitnah, kata menteri itu.
Secara keseluruhan, Fahmi berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sehingga kini telah mengarahkan penurunan 24,741 kandungan palsu dan 6,840 kandungan yang menyentuh isu kaum, agama, dan institusi diraja.