malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Amanah Perak beri laluan, sokong calon BN di PRK Ayer Kuning
Diterbitkan:  Feb 24, 2025 9:50 AM
Dikemaskini: 1:50 AM
ADS

Amanah Perak memberi laluan kepada BN untuk meletakkan calon mewakili kerajaan perpaduan pada pilihan raya kecil (PRK) Ayer Kuning akan datang.

Dalam satu kenyataan, Pengerusi Amanah Perak Asmuni Awi berkata parti itu telah memulakan persiapan untuk menggerakkan jenteranya bagi memastikan kemenangan calon BN, sekali gus mengukuhkan kerjasama BN-Pakatan Harapan (PH) di negeri itu.

“Sokongan yang tidak berbelah bahagi ini antara lain bagi memberi isyarat jelas kepada rakyat bahawa kestabilan politik yang dicapai menerusi kerajaan perpaduan perlu dipelihara dan diperkukuh demi memastikan perancangan dan dasar yang sedang dilaksanakan sama ada di peringkat negeri mahupun pusat adalah keutamaan kepada negara pada ketika ini,” katanya.

Menurutnya, semasa mesyuarat pimpinan Amanah Perak pada 23 Februari lalu, parti itu mengarahkan sayapnya mengadakan perbincangan rasmi dengan BN bagi merangka strategi menyasarkan pengundi muda dan wanita pada pilihan raya kecil itu.

Asmuni berkata, Amanah yakin kerajaan perpaduan Perak boleh menjadi model terbaik dalam mempamerkan keutuhan kerjasama BN-PH dan manfaat yang diperolehi rakyat menerusi dasar dan polisi yang dilaksanakan.

Kerusi DUN Ayer Kuning kosong susulan kematian penyandangnya, Ishsam Shahruddin, semalam.

Pada pilihan raya negeri 2022, calon Umno itu menewaskan empat yang lain untuk memenangi kerusi DUN itu dengan 2,213 undi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen