Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, mengesahkan dia akan bertanding pemilihan jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) DAP akan datang.
Bagaimanapun, Chow dipetik The Star berkata masih terlalu awal untuk menentukan jika dia akan menerima jawatan pengerusi DAP sekiranya dipilih ke dalam CEC dan ditawarkan jawatan tersebut.
Sebelum ini, Chow tidak bertanding dalam pemilihan DAP Pulau Pinang di tengah-tengah spekulasi dia tidak mendapat sokongan mencukupi untuk dipilih ke dalam jawatankuasa negeri.
Keputusan Chow untuk kembali bertanding bagi kepimpinan pusat parti dibuat ketika timbul spekulasi saingannya Pengerusi DAP Lim Guan Eng, juga berdepan dengan pengurangan sokongan.

Pada hari Rabu, veteran DAP Pulau Pinang Phee Boon Poh menggesa pembaharuan kepimpinan dalam parti.
Phee berkata walaupun pengorbanan keluarga Lim diiktiraf, ramai lagi ahli veteran lain turut menyumbang sepenuhnya kepada perjuangan parti.
Dia bersama beberapa lagi veteran parti, termasuk Tan Kok Wai, Fong Kui Lun dan M Kulasegaran, telah membuat keputusan untuk tidak bertanding dalam pemilihan CEC tahun ini.