Memandangkan pilihan raya negeri Sabah semakin hampir, timbalan pengerusi Perikatan Nasional (PN) Hamzah Zainudin menyeru pengundi agar tidak lupa mengenai siri video yang membabitkan beberapa Adun dalam skandal rasuah ketika mereka keluar mengundi.
Hamzah menggesa hadirinnya pada ceramah PN di Gum-Gum, dekat Sandakan malam tadi supaya menulis senarai isu yang melanda pentadbiran Ketua Menteri Hajiji Noor, termasuk skandal rasuah berkenaan.
"Orang Sabah sekarang jangan tidur awal. Orang Sabah sekarang kena tulis. Apa yang kita mahu tulis? Pertama, tuliskan isu negeri Sabah. Banyak betul isu negeri Sabah.
"Jangan lupa. Kalau kita lupa, maka besok, bila sampai masa mengundi, kita akan lupa. Sampaikan yang menang masih lagi itu - yang veteran-veteran dulu-dulu yang sekarang ini, sudah banyak video yang ditunjukkan.
"Jadi, orang Sabah jangan tidur awal, kena tulis sekarang. Nombor satu, video (skandal rasuah). Supaya tak lupa video itu. Lagi 3, 4 bulan, bila undi, ingat itu video,” katanya dalam ucapannya yang disiarkan secara langsung di platform media sosial.
Isu lain yang disebut oleh Hamzah ialah infrastruktur air dan elektrik negeri yang lemah.
Dalam ucapannya, Hamzah turut melahirkan rasa hairan dengan kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki bahawa video itu tidak boleh diterima sebagai bukti.
Dia berkata tiada seorang pun pemimpin Bersatu mempunyai video yang mengaitkan mereka dengan rasuah, namun presidennya Muhyiddin Yassin didakwa atas dakwaan rasuah.
"Di Sabah ini, mudah saja. Kita nak beritahu dengan SPRM kalau video itu tidak boleh pakai, panggil orang yang bagi video itu, check dengan mereka yang ambil duit, tengok, siasat
"Eh, kalau itu pun kau cakap tidak boleh guna lagi saya nak bagitahu dalam pilihan raya negeri Sabah nanti, kita bangkit. Kita buktikan kita tahu bahawa mereka inilah yang sebenarnya telah mengambil wang. Wang yang sepatutnya adalah kepentingan rakyat negeri Sabah semua.
"Kita buktikan dalam pilihan raya. Boleh?" katanya, disambut sorakan daripada hadirin.
Pilihan raya Sabah mesti diadakan pada bulan Disember. Hamzah telah mengumumkan pada Januari bahawa PN menyasarkan untuk bertanding sekurang-kurangnya 18 daripada 73 kerusi di negeri itu.
Sebelum ini, seorang ahli perniagaan yang menjadi pemberi maklumat telah membocorkan satu siri lapan video kepada Malaysiakini yang membabitkan beberapa Adun Sabah dalam perbincangan mengenai rasuah sebagai pertukaran untuk sokongan mereka terhadap permohonan ahli perniagaan itu untuk lesen cari gali mineral.
Beberapa dokumen dan tangkapan skrin perbualan WhatsApp turut didedahkan.
Bagaimanapun, ketua pesuruhjaya SPRM berkata video itu - seperti yang dikeluarkan oleh Malaysiakini - tidak boleh diterima sebagai bukti kerana ia telah disunting, meski siasatan masih dijalankan.
Hajiji telah menolak dakwaan terhadapnya itu sebagai cubaan untuk memburukkan pentadbirannya, dan menuduh pemberi maklumat itu bekerjasama dengan pihak yang mempunyai kepentingan.
Pemberi maklumat itu juga telah dituduh menjadi sebahagian daripada kartel yang ingin memonopoli perlombongan di negeri ini dan telah melakukan penipuan untuk mencapai objektif ini.
Sementara itu, Timbalan Ketua Bersatu Sabah Muhammad Affan Jumahat dalam satu kenyataan mengecam perutusan Tahun Baru Hajiji yang mengingatkan penjawat awam negeri supaya tidak terlibat dengan rasuah atau salah guna kuasa.
Affan, juga ahli majlis tertinggi Bersatu, memetik kenyataan Hajiji bahawa "trend sekarang terdapat CCTV di mana-mana, rakyat sendiri menjadi CCTV."
“Saya ingin memberitahu kepada Hajiji Noor bahawa beliau ketinggalan jika zaman ini mengesan kegiatan rasuah melalui CCTV.
"Sepatutnya beliau sebut pen perakam berkamera yang mendedahkan skandal rasuah lesen penerokaan mineral baru-baru ini juga merupakan trend teknologi terkini," kata Affan.
Affan juga menegaskan Hajiji tidak mempunyai kredibiliti untuk mengeluarkan peringatan kepada penjawat awam, memandangkan dirinya sendiri didakwa terlibat dalam skandal rasuah.

