malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
550 hadir sesi pendengaran awam PAC berkaitan bayaran premium insurans
ADS

Kira-kira 550 orang awam menghadiri sesi kedua pendengaran awam oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengenai peningkatan bayaran premium insurans kesihatan awam di bawah Kementerian Kewangan, Kementerian Kesihatan dan Bank Negara Malaysia, di ibu negara, hari ini.

Naib Pengerusi PAC, Teresa Kok, berkata prosiding di bangunan parlimen itu melakar sejarah kerana buat pertama kalinya jawatankuasa itu mendengar sendiri maklum balas rakyat.

"PAC membuat keputusan untuk mengadakan sesi pendengaran awam buat pertama kali dalam sejarah jawatankuasa ini bagi mendengar sendiri maklum balas daripada rakyat yang terkesan dengan kenaikan harga tidak terkawal dalam sektor hospital swasta serta premium insurans.

"Seramai 730 orang telah menyertai kedua-dua sesi pendengaran awam di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur dengan penyertaan di Kuala Lumpur sahaja di Dewan Rakyat hari ini berjumlah 550 orang," katanya dalam sidang media.

Turut hadir, ahli PAC yang juga Ahli Parlimen Kubang Pasu, Ku Abdul Rahman Ku Ismail; Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof; Ahli Parlimen Kapar, Dr Halimah Ali; Ahli Parlimen Betong, Dr Richard Rapu; serta Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin.

Prosiding ini dihadiri pihak berkepentingan termasuk industri insurans kesihatan, hospital swasta, kementerian, Bank Negara, NGO dan ahli akademik. Bermula jam 9.00 pagi, sesi berlangsung lebih tiga jam dengan setiap wakil diberi lima minit untuk menyuarakan pandangan.

Hadirin dilihat bersemangat mengutarakan pandangan dan aduan mengenai kenaikan harga hospital swasta serta premium insurans. Mereka turut berterima kasih kepada PAC kerana memberi ruang untuk menyuarakan isu ini.

Di akhir sesi, Teresa mengumumkan PAC akan meneruskan prosiding tertutup bermula 24 Feb melibatkan 10 sesi bersama pemegang taruh, kementerian dan agensi berkaitan.

"Jawatankuasa ini akan memanggil semua pihak berkepentingan dalam industri insurans kesihatan, hospital swasta, Kementerian Kewangan, Kementerian Kesihatan, Bank Negara Malaysia, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ahli akademik.

"Sebanyak 10 prosiding telah dijadualkan untuk isu ini dan ia adalah sesi tertutup sehingga prosiding selesai dan laporan dibentangkan di Dewan Rakyat," katanya.

Sementara itu, Ahli PAC, Sim Tze Tzin, menjangka prosiding mengambil masa kira-kira tiga bulan sebelum laporan akhir dibentang di Dewan Rakyat pada Jun atau Julai.

“Kita tidak mempunyai masa yang panjang, kerana nak gubal undang-undang perlu proses yang panjang.

"Jadi cadangan syor (oleh PAC) yang baru akan diberikan supaya agensi kerajaan boleh bekerja (untuk) draf undang-undang baru,"katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen