malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Saya hanya 'cut and paste' kenyataan penderma Arab, kata pegawai SPRM
ADS

BICARA 1MDB l Seorang pegawai penyiasat SPRM memaklumkan kepada Mahkamah Tinggi di Putrajaya bahawa dia hanya "cut and paste” (potong dan tampal) dakwaan kenyataan penderma Arab kepada bekas perdana menteri Najib Razak.

Saksi pembelaan Najib itu, Nasharudin Amir bersetuju dengan cadangan timbalan pendakwa raya Ahmad Akram Gharib tersebut semasa kes salah guna kuasa dan pengubahan wang haram RM2.27 bilion terhadap tertuduh.

Pasukan pendakwaan berhujah bahawa delegasi yang terdiri daripada pegawai SPRM dan Jabatan Peguam Negara (AGC) ke Riyadh, Arab Saudi pada November 2015, gagal mengesahkan kesahihan kononnya terdapat empat surat menjanjikan derma kepada Najib.

Delegasi Malaysia - termasuk Nasharudin - cuba  merakam kenyataan putera Arab yang didakwa menulis surat itu. Bagaimanapun, Nasharudin hanya sekadar merakam kenyataan Abdullah al-Koman, yang didakwa sebagai peguam kepada putera itu.

Akram: Kamu setuju jika saya cadangkan bahawa kenyataan empat setengah muka surat (al-Koman) ini telah pun disediakan terlebih dahulu (sebelum rombongan tiba di Riyadh) dan tugas kamu dan Hafaz (Nazar, pegawai perakam SPRM) hanya “cut and paste” kenyataan SPRM.

Nasharudin: Ya.

Penolong Kanan Pesuruhjaya SPRM itu juga bersetuju dengan Akram bahawa dirinya dan Hafaz tidak menyoal sebarang soalan tambahan kepada al-Koman semasa merakam kenyataan tersebut, mahupun peguam putera Arab itu memberikan sebarang dokumen sokongan.

Nasharudin memberi keterangan bahawa dia tidak berpuas hati dengan hasil rakaman kenyataan al-Koman.

Malah, dia juga tidak pasti sama ada penderma Arab yang dikatakan itu hadir adalah tiga orang Arab yang dikatakan bertemu delegasi berkenaan di Istana Riyadh.

Nasharudin juga berkata dia tidak pasti jika wang yang disalurkan ke dalam akaun bank Najib di Malaysia datang daripada kerabat Arab yang diwakili oleh al-Koman itu.

Akram: Dari pandangan kamu, dari awal perjalanan ke Saudi dan sehingga selesai, ini sudah dirancang, kamu hanya pergi ke sana untuk melengkapkan “cerita”, dan tidak bertanya apa-apa (soalan daripada penderma Arab yang didakwa itu), kamu pergi untuk makan dan kemudian pulang (ke Malaysia)?

Nasharudin: Ya, betul.

Sebelum ini, semasa perbicaraan 1MDB, ketua Nasharudin, Fikri Abdul Rahim, yang merupakan sebahagian daripada delegasi yang sama ke Riyadh, juga telah memberi keterangan mengenai hasil siasatan di sana.

Fikri antara lain memberi keterangan bahawa delegasi itu dilayan seperti tetamu VIP negera dan dibenarkan menunaikan umrah di Mekah sebelum berjaya berjumpa dengan putera Arab yang didakwa itu.

Pada 30 Okt, mahkamah jenayah memerintahkan Najib membela diri atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana RM2.27 bilion daripada 1MDB.

Hakim Collin Lawrence Sequerah memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie ke atas Najib berdasarkan keterangan kira-kira 50 keterangan saksi.

Antara awal Disember tahun lalu dan akhir Januari tahun ini, Najib menghabiskan 26 hari di kandang saksi cuba menimbulkan keraguan munasabah dalam kes itni.

Najib berhujah bahawa dia tidak mempunyai pengetahuan mahupun penglibatan dalam salah laku 1MDB, dan penyelewengan dana firma pelaburan Malaysia itu didalangi oleh ahli perniagaan Low Taek Jho (Jho Low) yang telah melarikan diri dan ahli pengurusannya yang lain.

Najib yang juga bekas menteri kewangan juga berhujah bahawa dia telah dijanjikan sejumlah derma daripada Allahyarham Raja Arab Saudi Raja Abdullah semasa pertemuan mereka di Riyadh pada 2010.

Tertuduh telah menjalani hukuman penjara enam tahun sejak Ogos 2022 atas kes rasuah berasingan membabitkan RM42 juta daripada SRC, bekas anak syarikat 1MDB.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen