Presiden PAS Abdul Hadi Awang dilabel sebagai hipokrit apabila mengkritik penggunaan bahasa Inggeris secara meluas dalam negara dan menganggapnya sebagai bukti kegagalan kerajaan memartabatkan bahasa Melayu.
Ketua Pemuda PH Terengganu, Wan Mohd Hasbi Haliq Wan Ahmad, berkata PAS juga sebenarnya gagal memberikan ruang yang sepatutnya kepada bahasa Melayu.
Kata Wan Mohd Hasbi sikap hipokrit itu malah dapat dilihat di negeri Abdul Hadi sendiri - Terengganu - apabila kerajaan negeri kerap mencampuradukkan bahasa Inggeris dan Melayu dalam pelbagai hebahan serta acara rasmi.
“Ironinya, walaupun lantang mengkritik penggunaan bahasa Inggeris di peringkat persekutuan, PAS nampaknya tidak teragak-agak menggunakan bahasa tersebut apabila melibatkan promosi acara di negeri sendiri.
“Tindakan sebegitu bukan sahaja mencerminkan betapa tidak konsistennya PAS dalam dasar bahasa, tetapi turut menunjukkan bagaimana prinsip memartabatkan bahasa Melayu hanya dilaungkan apabila ia selari dengan agenda politik mereka,” katanya dalam kenyataan kepada Malaysiakini, hari ini.
Kelmarin Abdul Hadi meluahkan rasa kecewanya apabila mendakwa kerajaan gagal memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan meskipun ia telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Berucap di Dewan Rakyat, Abdul Hadi berkata bahasa Melayu masih lagi terpinggir di negara ini manakala bahasa asing masih menjadi keutamaan termasuk dalam urusan kerajaan.
"Apa berlaku hari ini bercelaru, kedai di bandar, ibu negara semua bahasa ada, (penggunaan) bahasa Melayu kadang-kadang halus (kecil) sahaja, bahasa Inggeris besar (walaupun orang) Inggeris dah tak ada.
"Dalam majlis orang putih ada tiga ekor sahaja, yang orang kita ni ramai, semua boleh berbahasa Melayu, (tapi) cakap (guna bahasa) Inggeris juga, surat rasmi, bicara di mahkamah masih lagi bahasa Inggeris," katanya.
Cuma gimik murahan
Wan Mohd Hasbi berkata dalam konteks itu, rakyat pastinya tertanya-tanya sama ada kritikan Abdul Hadi terhadap penggunaan bahasa Inggeris benar-benar ikhlas atau sekadar retorik politik murahan.
Tambahan pula, katanya, pendekatan kerajaan Terengganu yang menggunakan bahasa Inggeris dalam acara rasmi bukanlah perkara terpencil.
“Banyak lagi program lain yang seakan-akan meminggirkan bahasa Melayu dengan alasan untuk menarik perhatian pelancong dan pelabur asing.

“Jika benar bahasa Melayu hendak dimartabatkan, mengapa PAS tidak menunjukkan teladan terlebih dahulu di negeri yang mereka kuasai?
“Bukankah lebih wajar untuk menghapuskan penggunaan bahasa Inggeris dalam semua acara rasmi negeri sebelum menuding jari kepada pihak lain?
“Sikap hipokrit ini turut menonjolkan betapa PAS sering kali mengamalkan double standard dalam isu-isu penting,” ujarnya yang merujuk pelbagai poster acara kerajaan Terengganu yang disiarkan di Facebook menteri besarnya Ahmad Samsuri Mokhtar.

Dia yang juga Ketua Pemuda Amanah Terengganu itu menambah, di hadapan penyokong sendiri, pemimpin PAS tampil kononnya pejuang bahasa dan budaya bangsa, namun dalam pelaksanaan, mereka sendiri tidak teragak-agak melanggar prinsip yang dilaungkan.
“Tindakan sebegini bukan sahaja mengelirukan rakyat, malah boleh menjejaskan kepercayaan masyarakat terhadap keikhlasan perjuangan PAS dalam memartabatkan bahasa kebangsaan.
“Akhirnya, rakyat berhak mempersoalkan kejujuran PAS dalam isu bahasa ini. Jika benar bahasa Melayu mahu diangkat martabatnya, PAS seharusnya bermula dengan 'membersihkan rumah sendiri'.
“Selagi mereka sendiri mengutamakan bahasa Inggeris dalam program-program negeri, selagi itulah kenyataan mengenai bahasa kebangsaan akan dilihat sebagai sekadar gimik politik murahan," katanya.

