Mahkamah Tinggi Klang hari ini menasihatkan 32 individu yang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) supaya membuat laporan polis berikutan dakwaan dipukul ketika dalam tahanan.
Peguam yang mewakili 15 daripada 32 tahanan Sosma terbabit, T Harpal Singh, memaklumkan nasihat tersebut diberikan kepada anak guamnya selepas memberi keterangan dalam pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Hirman Ab Raub.
Tahanan terbabit sebelum ini ditahan di bawah Sosma kerana disyaki terlibat dengan kumpulan jenayah terancang atau dikenali sebagai Geng TR.
“Semua 15 anak guam saya memberikan keterangan secara lisan mengenai bagaimana mereka dipukul, lokasi kecederaan, serta individu yang terlibat. Semua keterangan mereka telah dirakam oleh timbalan pendaftar,” katanya kepada pemberita di perkarangan Mahkamah Tinggi Klang.

Hakim itu turut menasihatkan mana-mana individu yang ingin membuat laporan polis agar berbuat demikian di mana-mana balai polis berdekatan dengan diiringi pegawai polis.
Terdahulu, Harpal mendakwa anak guamnya dipukul ketika dalam tahanan pada awal Feb lalu kerana mengadakan mogok lapar di Penjara Sungai Buloh.
Akibat kejadian tersebut, dia telah dipanggil oleh pegawai penjara untuk meredakan ketegangan.
Menurut Harpal 25 daripada 32 tahanan didakwa diserang oleh pegawai penjara terbabit.
“Berlaku rusuhan dalam penjara di mana mereka (anak guam saya) dipukul dan saya dipanggil untuk damaikan keadaan.
“Ketika saya masuk penjara dan minta mereka hentikan mogok lapar, saya dapati mereka kemudiannya dipukul dan ada yang dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh,” katanya.

Menurutnya mahkamah juga telah mengarahkan agar semua tahanan terbabit diberikan rawatan segera di hospital.
“Saya juga mohon rawatan di Hospital Sungai Buloh untuk anak guam saya, bukan di penjara dan mahkamah telah beri arahan supaya mereka diberi rawatan segera," ujarnya.
Seorang lagi peguam, Rajesh Nagarajan, yang turut mewakili beberapa tahanan lain, berkata anak guamnya menyatakan mereka dipijak, ditendang, ditumbuk, dan dipukul berulang kali dengan cota di pelbagai bahagian badan.
“Ini benar-benar tidak masuk akal, mengejutkan, dan mengerikan. Dalam negara bertamadun, tahanan tidak seharusnya dipukul hanya kerana melakukan mogok lapar. Mesti ada siasatan mengenainya,” tegasnya.
Rajesh turut menyuarakan kebimbangan bahawa tahanan mungkin menghadapi kesukaran untuk membuat laporan polis seperti yang dinasihatkan oleh hakim, kerana tindakan itu berpotensi menyukarkan pihak berkuasa yang terlibat.
Gesaan campur tangan KDN
Sementara itu Pengarah Eksekutif Suaram, Sevan Doraisamy, yang turut hadir di mahkamah menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk campur tangan.
“Ada sisi defensif daripada pihak penjara. Mereka tak pedulipun pun nak periksa atau hantar orang tengok (dakwaan dipukul). Patutkah begini?” soalnya.
Menurut Sevan, pihak penjara mendakwa tahanan terbabit dibawa ke hospital kerana mogok lapar, namun pihaknya melihat jelas terdapat kecederaan di badan mereka.
“Hari ini mahkamah dah dengar dan kami mahukan campur tangan menteri KDN. Apa reaksi segeranya?" soal Sevan.
Dia juga menggesa Jabatan Penjara untuk bertanggungjawab sepenuhnya terhadap insiden tersebut.
"Gantung tugas pengarah penjara sekarang sementara menanti siasatan yang sempurna,” tambahnya.
Mahkamah menetapkan 17 April sebagai tarikh pengurusan semula kes, manakala perbicaraan dijadualkan berlangsung pada 15 hingga 30 Oktober, 2 hingga 6 dan 9 hingga 22 Nov 2026.

