Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan) berjaya merampas lebih 4,000 haiwan labi-labi muncung babi yang disyaki cuba diterbangkan ke luar negara melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Selasa lalu.
Hasil maklumat yang diterima, Perhilitan dan pasukan keselamatan penerbangan lapangan terbang (AVSEC) menjalankan pemeriksaan terhadap dua penumpang yang menaiki penerbangan AirAsia AK512 dari Kuala Lumpur ke Hanoi.
“Hasil pemeriksaan terhadap kedua-dua penumpang terbabit mendapati mereka membawa tujuh bagasi yang mengandungi 4,386 ekor labi-labi muncung babi atau nama saintifiknya carettochelys insculpta.
“Labi-labi itu diletakkan di dalam beberapa bekas plastik kecil di dalam bagasi.
"Spesies labi-labi muncung babi dikategorikan sebagai haiwan hidupan liar eksotik,” kata Perhilitan dalam kenyataan di akaun Instagram rasmi mereka hari ini.

Susulan penemuan itu, kata Perhilitan, mereka menyita haiwan berkenaan yang dianggarkan bernilai RM1.754 juta.
"Hasil soal siasat mendapati mereka gagal menunjukkan dokumen yang sah daripada Perhilitan untuk membawa keluar hidupan liar tersebut dari Malaysia.
"Membawa keluar spesies hidupan liar yang dilindungi dari Malaysia tanpa dokumen yang sah adalah menjadi kesalahan di bawah Sekyen 65, Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 dan Sekyen 10, Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008.
"Kes tersebut akan disiasat mengikut kedua-dua akta berkenaan," katanya.


