Mahkamah Rayuan di Putrajaya hari ini membebaskan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah (KPLB), Mohd Arif Ab Rahman daripada tuduhan bersubahat menerima rasuah.
Keputusan itu sekali gus mengetepikan sabitan bersalah dan hukuman penjara tiga tahun, serta denda RM3 juta yang diputuskan oleh Mahkamah Sesyen sebelum ini.
Mohd Arif sebelum ini didakwa bersubahat dalam kes rasuah membabitkan SG$200,000 (RM614,000) berkaitan projek bekalan elektrik luar bandar di Sandakan, Sabah pada 2016.
Bagaimanapun, panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Vazeer Alam Mydin Meera mengekalkan sabitan terhadap anaknya, Ahmad Zukhairi, 43, atas empat pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah SG$200,000 secara tunai pada tahun yang sama.
Mahkamah juga membenarkan rayuan Zukhairi untuk mengurangkan hukuman penjara daripada lima tahun kepada empat tahun yang akan berlangsung mulai hari ini.
Denda sebanyak RM9.6 juta terhadap lelaki berusia 42 tahun itu juga dikekalkan.
Ketika membacakan keputusan sebulat suara bagi pihak Vazeer dan Lim Chong Fong, hakim Azizul Azmi Adnan berkata Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur terkhilaf dalam mensabitkan dan menjatuhkan hukuman terhadap Arif.
Azizul menjelaskan bahawa kes prima facie (kes yang boleh dijawab) terhadap Arif sebenarnya tidak dibuktikan.
"Kami berpendapat bahawa bukti secara tidak langsung terhadap perayu pertama (Arif) tidak mencukupi untuk membuktikan kesalahannya," kata Azizul, sambil menegaskan bahawa bukti keseluruhan tidak menyokong dakwaan bersubahat.
Bagaimanapun, Azizul menegaskan panel hakim tidak terpengaruh dengan hujah pembelaan bahawa terdapat kekhilafan oleh mahkamah.
"Kami berpendapat bahawa sabitan terhadap perayu kedua (Zukhairi) adalah selamat," kata hakim mahkamah rayuan itu, selain mengatakan bukti terhadap perayu adalah kukuh.
Pendakwa rujuk kes curi milo
Timbalan pendakwa raya (TPR) Wan Shaharuddin Wan Ladin merujuk kes curi Milo yang menyaksikan tertuduh dijatuhi hukuman penjara enam tahun.
Dalam menolak rayuan peguam Zukhairi untuk mengurangkan hukuman, pihak pendakwa membandingkan hukuman penjara lima tahun yang dijatuhkan oleh mahkamah terhadap perayu dengan hukuman penjara enam tahun dalam kes curi Milo tersebut.
"Kami tidak mahu masyarakat mengatakan kes curi Milo dihukum enam tahun, tetapi kes ini hukumannya lebih ringan," kata Wan Shaharuddin.
Dia berkata demikian bagi membantah permohonan peguam Zukhairi, Zamani Ibrahim, yang meminta mahkamah mengurangkan hukuman untuk anak guamnya.
Peguam tersebut berhujah Zukhairi ialah pesalah kali pertama dan merupakan seorang ketua keluarga, serta satu-satunya pencari nafkah yang menyara dua anak perempuan yang masih bersekolah.
"Dia hanya rakyat biasa, bukan ahli politik atau penjawat awam, hanya rakyat biasa yang merayu agar diberikan kelonggaran.
"Kami memohon agar dia diberi peluang kedua, supaya apabila dibebaskan kelak, dia boleh memberi sumbangan kepada masyarakat.
"Kami merayu kepada budi bicara Yang Arif," kata Zamani.
Sebelum Zukhairi dibawa ke penjara oleh pihak polis, Arif dilihat menepuk bahu anaknya itu sebagai tanda sokongan.
Kes rasuah ini melibatkan sogokan sebanyak S$200,000 kepada Eramaz (M) Sdn Bhd bagi mendapatkan tender terus untuk memasang peranti elektrik tenaga suria di empat pulau terpencil berhampiran Sandakan dengan kos RM57.5 juta.
Pendakwaan terhadap Zukhairi juga melibatkan penerimaan RM70,000 dan RM50,000 daripada Syarikat HH Global Construction Sdn Bhd bagi memperoleh projek pembinaan dan menyiapkan Dataran Rekreasi serta kerja berkaitan di Persisiran Tasik Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir.
Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur mensabitkan dan menjatuhkan hukuman terhadap kedua beranak itu pada 2018.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kemudian menolak rayuan kedua-dua mereka berhubung sabitan tersebut pada 2021.
Keputusan Mahkamah Rayuan hari ini merupakan rayuan terakhir bagi kedua-dua mereka.


