malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Langkah kerajaan seterusnya naikkan gaji melebihi kos sara hidup - Rafizi
Diterbitkan:  Feb 19, 2025 8:34 PM
Dikemaskini: 12:34 PM
ADS

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata langkah seterusnya dalam rancangan kerajaan untuk ekonomi negara adalah memastikan gaji melebihi kos sara hidup.

Kata Rafizi, sekiranya inflasi dapat dikekalkan di bawah dua peratus untuk beberapa tahun akan datang, campur tangan kerajaan untuk meningkatkan gaji dan mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi akan mula mengurangkan tekanan kos sara hidup.

"Jadi saya yakin, apabila data-data gaji dimuktamadkan bagi tahun 2025 dan tahun 2025 ini adalah tahun yang penting kerana ketiga-tiga campur tangan kerajaan untuk menaikkan gaji ini akan berlaku serentak.

"Kenaikan gaji kakitangan awam, kenaikan gaji minimum, dan juga pelaksanaan gaji progresif dengan menggunakan RM200 juta yang pertama," katanya dalam ucapan penggulungan titah diraja, di Dewan Rakyat, hari ini.

Pada Disember, penjawat awam di bawah kumpulan sokongan, pengurusan dan profesional, mendapat purata kenaikan gaji 15 peratus.

Semasa pembentangan Belanjawan 2025, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa gaji minimum akan dinaikkan daripada RM1,500 kepada RM1,700 mulai bulan ini.

Mei lalu, kerajaan memperkenalkan dasar gaji progresif, skim sukarela yang bertujuan untuk menaikkan gaji.

Rafizi turut menjelaskan bahawa dua tahun pertama kerajaan memegang jawatan adalah tertumpu kepada mewujudkan naratif ekonomi yang kukuh.

Setelah itu dicapai, dia berkata pertumbuhan jangka sederhana dan panjang menyusul apabila pelabur mengalu-alukan naratif dan prospek ekonomi negara.

"Dan apabila sudah ada momentum sekarang ini, maka tumpuan yang lebih perlu diberikan kepada perubahan struktur dan juga reformasi ekonomi supaya pertumbuhan itu, limpahannya dapat dirasakan oleh rakyat sama ada melalui peluang pekerjaan, gaji dan lain-lain," tambahnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen