malaysiakini logo
ADS
story-image
mk-logo
Berita
Koperasi 'mungkir': Pelabur minta polis siasat, bukan serah ke SKM
ADS

"Kami dimalukan, dianiaya dan diperdaya oleh bangsa kami sendiri, bangsa kami sendiri hingga mengalami kerugian RM20,000.

"Saya akan perjuangkan perkara ini kerana wang itu mempunyai nilai sentimental... itu adalah wang peninggalan arwah suami untuk saya dan anak-anak," luah seorang mangsa pelaburan sebuah koperasi yang beroperasi di Pahang.

Siti Khalijah Said, 65, berkata demikian ketika ditemui media selepas dia bersama kira-kira 50 mangsa koperasi terbabit menghantar surat kepada pihak polis untuk meminta pihak berkuasa menyiasat kes berkenaan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Surat itu dihantar kepada pihak berkuasa di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan, Pahang, hari ini.

Siti Khalijah Said
ADS

Mereka turut mendapatkan bantuan Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) bagi membawa kes itu kepada perhatian pihak polis.

Seorang lagi mangsa, Mohamad Hazrul Mohammad Rapi, 37, mendakwa dia mengalami kerugian sebanyak RM368,000 selepas melabur dalam skim ditawarkan koperasi terbabit sejak 2019.

"Saya dah buat laporan berkaitan koperasi itu pada 2021 namun setakat hari ini, belum ada apa-apa perkembangan.

"Ini adalah usaha lanjutan kami dalam usaha mendapatkan kembali hak supaya segala wang dilaburkan dalam koperasi itu dapat kami peroleh semula," katanya yang berasal dari Kuantan, Pahang.

Mohamad Hazrul Mohammad Rapi
ADS

Bagi Hanina Talha, 67, pula dia memberitahu isu membabitkan pelaburan dibuat dalam koperasi berkenaan sepatutnya sudah selesai Jan lalu.

Katanya dia melabur dengan membayar modal syer berjumlah RM40,000 sejak 2021 tetapi memaklumkan kepada pihak koperasi untuk menarik diri sebagai ahli selepas tidak menerima bayaran dividen seperti dijanjikan.

"Mereka memberi bermacam alasan sehingga saya membuat keputusan untuk membawa kes ini ke tribunal tuntutan pengguna.

"Pihak tribunal pun dah buat keputusan yang memihak kepada saya dan mengarahkan koperasi berkenaan membayar balik modal syer saya, namun sehingga hari ini saya belum menerima sebarang bayaran," jelasnya.

Sementara itu Setiausaha Agung MHO, Hishamuddin Hashim, memaklumkan tujuan utama mereka berkumpul dan menghantar surat ke IPD Kuantan adalah supaya pihak polis mengambil alih siasat kes berkenaan.

Katanya, laporan polis dibuat sebelum ini diputuskan sebagai RLA (rujuk lain agensi) dan ia menimbulkan rasa kurang puas hati mangsa.

"Macam hari ini, MHO mewakili 127 pengadu (mangsa) memohon jasa baik pihak polis menyiasat kes ini dan tidak menyerahkan kepada agensi lain seperti Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

"Walaupun koperasi terbabit dikatakan pernah menerima pengiktirafan di Pahang, namun apa yang terjadi kepada mangsa akan memberi impak kepada koperasi lain.

"Kami minta kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana wujud unsur penipuan dalam urusan antara ahli koperasi dan pihak koperasi itu sendiri," ujarnya.

Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu, yang dihubungi media mengesahkan menerima surat daripada pihak berkenaan dan akan meneliti kandungannya sebelum memutuskan tindakan lanjut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen