malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Jiran tak nampak Zayn Rayyan di taman permainan
Diterbitkan:  Feb 18, 2025 8:28 PM
Dikemaskini: 12:28 PM
ADS

Seorang saksi memberitahu Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, dia tidak pernah nampak Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin bermain di taman permainan Apartment Idaman, Damansara Damai sebelum atau pada hari kanak-kanak autistik itu hilang.

Rashidah Rajali, 37, yang menjadi jiran kepada pasangan ibu bapa Zayn Rayyan, Ismanira Abdul Manaf dan Zaim Ikhwan Zahari, berkata sepanjang 10 tahun tinggal di situ, dia tidak pernah nampak kanak-kanak terbabit bermain di luar mahupun dengan anaknya.

“Anak saya ada bermain di taman permainan pada waktu petang dan saya menemaninya.

“Saya tidak pernah nampak Zayn Rayyan bermain di taman permainan itu. Saya ada tiga anak dan mereka sering bermain basikal di koridor, saya tidak pernah nampak Zayn Rayyan bermain di koridor meskipun kami tinggal di aras sama,” katanya yang yang tinggal di aras dua apartmen berkenaan.

Rashidah berkata demikian semasa pemeriksaan utama timbalan pendakwa raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, pada hari ketujuh perbicaraan kes pengabaian yang dihadapi ibu bapa kanak-kanak itu di hadapan hakim, Syahliza Warnoh, hari ini.

Pada 5 Feb lepas, bekas pegawai penyiasat di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya Insp Nina Syamimi Syamsuddin, 33, memberitahu mahkamah, semasa rakaman percakapan diambil, Ismanira menyatakan ketika pulang ke rumah, Zayn Rayyan tidak mahu pulang ke rumah kerana mahu bermain buaian.

Kata Nina Syamimi, Ismanira memberitahunya ketika menaiki tangga, kanak-kanak terbabit berjalan di belakangnya namun mendapati budak itu hilang setelah menoleh ke belakang sebaik tidak mendengar tapak kaki anaknya.

Saksi pendakwaan keempat itu berkata Ismanira turut memaklumkan dia memegang barang yang baru dibeli pada tangan kanan dan kirinya dan apabila tidak mendengar tapak kaki kanak-kanak itu, Ismanira meninggalkan barang itu di tangga kemudian menoleh ke belakang dan mendapati kanak-kanak itu tiada.

Kanak-kanak beri keterangan tertutup

Sementara itu, Rashidah berkata dia tidak nampak Ismanira memegang sebarang barang di tangan sebaliknya hanya menggalas satu beg berwarna biru dan merah serta satu beg silang semasa terserempak dengan wanita terbabit di tangga blok R apartmen mereka kira-kira jam 12.15 tengah hari pada 5 Dis 2023.

“Saya terserempak dengan Ismanira semasa saya nak turun ke bawah hantar anak pertama ke sekolah, manakala Ismanira hendak naik.

“Ibu Zayn Rayyan (Ismanira) yang memakai tudung warna hitam, baju warna putih dan seluar atau kain macam palazo warna hitam tunduk dan saya tidak bercakap dengannya,” kata saksi berkenaan.

Saksi pendakwaan ke-16 itu berkata kali kedua dia terserempak dengan Ismanira ialah kira-kira jam pada 12.35 tengah hari pada hari sama ketika pulang selepas menjemput dua anak lain dari sekolah.

“Ketika itu ibu Zayn Rayyan turun dari tingkat satu, manakala saya dari tingkat bawah nak naik ke rumah.

“Sampai di rumah, saya dapat panggilan daripada suami yang ingin bertanyakan mengenai keadaan anak-anak sama ada sudah makan atau belum dan suami turut memberitahu Zayn Rayyan hilang.

“Semasa terserempak dengan ibu Zayn Rayyan, saya lihat dia memakai tudung bercorak warna gelap manakala bajunya berbeza dan mukanya tiada reaksi. Ketika itu saya tidak bercakap dengan Ismanira,” kata saksi itu.

Terdahulu, dua saksi kanak-kanak lelaki berumur 10 tahun memberi keterangan pada prosiding perbicaraan yang dijalankan secara tertutup.

Pada 13 Jun 2024, Zaim Ikhwan dan Ismanira kedua-duanya berumur 30 tahun mengaku tidak bersalah di mahkamah atas satu pertuduhan mengabaikan kanak-kanak autistik berusia enam tahun itu, dengan cara kemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya di sekitar jalan PJU Damansara Damai di sini pada 12 tengah hari, 5 Dis hingga 9.55 malam, 6 Dis 2023.

Pertuduhan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31 (1) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mayat Zayn Rayyan ditemukan di aliran anak sungai berhampiran rumahnya di Apartment Idaman, Damansara Damai dekat sini pada 6 Dis 2023. Dia dilaporkan hilang sehari sebelumnya. Kanak-kanak itu dipercayai dibunuh apabila hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher serta badannya akibat mempertahankan diri.

Perbicaraan bersambung esok.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen