PARLIMEN l Dengan sekolah kebangsaan (SK) yang semakin merosot kualiti dan tidak lagi menjadi pilihan utama semua rakyat Malaysia, mereka tidak lagi menjadi tempat perpaduan negara, kata Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda-Muar).
Semasa perbahasan titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini, dia membuat perbandingan antara sekolah-sekolah kebangsaan masa kini dengan sekolah-sekolah dahulu.

“Contohnya di (sekolah) La Salle kamu pergi ke kelas-kelas memang masyarakatnya berbilang bangsa dan agama, bukan setakat berbilang bangsa dan agama, wakil B40, M40 dan T20 semua bersama.
“Tetapi pada hari ini sangat berbeza sekali sampai ada laporan menyatakan bahawa ada kelas-kelas yang tidak ada komuniti Cina langsung.
“Perkara ini bukanlah perkara yang baru tetapi perkara yang sangat mencemaskan kerana SK dulu merupakan pilihan utama kini telah digantikan dengan sekolah antarabangsa ataupun sekolah vernakular,” katanya,
Bagi menangani isu itu, dia memberi cadangan kepada kerajaan untuk memberi insentif kepada ibu bapa untuk memilih sekolah kebangsaan dengan cara merombak sukatan pelajaran.
Selain itu, katanya kerajaan juga boleh memberi insentif kepada ibu bapa dengan menyediakan tablet percuma kepada semua pelajar sekolah awam, yang juga akan memberi kesan merapatkan jurang digital.

Syed Saddiq juga menyarankan sekolah supaya membekalkan sarapan pagi berkhasiat percuma kepada semua pelajar.
“Bagi sekolah yang sudah ada (sarapan pagi), tingkatkan (usaha) supaya keyakinan ibu bapa memilih SK itu meningkat.
“Kedua, adalah rombakan silibus yang berdasarkan kepada kata-kata (saranan) pakar, dan melalui jawatankuasa dwi-partisan supaya kalau ada perubahan kerajaan ia tidak akan berubah berkali-kali,” katanya.
Jelasnya, kebimbangannya berpunca daripada menjadi anak kepada seorang guru.
Syed Saddiq berkata dia telah melihat ramai orang Melayu daripada kelas berpendapatan sederhana berusaha membayar yuran bulanan yang tinggi untuk menghantar anak mereka ke sekolah swasta berikutan kebimbangan sekolah kebangsaan yang merosot dalam pendidikan berkualiti.

Katanya, dia tidak akan menghakimi penggubal dasar yang menghantar anak mereka belajar di sekolah swasta dan antarabangsa serta di luar negara, tetapi memberi amaran kepada mereka agar tidak menentang pembaharuan sistem pendidikan.

