PARLIMEN | Ahli Parlimen Pendang, Awang Solahuddin Hashim menyoal bagaimana Kementerian Perpaduan merancang memupuk perpaduan negara apabila terdapat menteri DAP yang didakwa mencampuri urusan berkaitan Islam.
Dalam ucapannya ketika membahaskan titah diraja di Dewan Rakyat hari ini, Awang menyorot beberapa insiden yang menurutnya tidak membantu usaha memperkukuh keharmonian rakyat.
"Baru-baru ini Majlis Bandar Raya Ipoh berhasrat memperluaskan lokasi larangan jualan arak di kawasan majoriti Melayu Islam.
"Namun seorang menteri daripada DAP terus melatah sehingga melanggar sempadan bidang kawasan kerajaan negeri.

"Rata-rata kedai serbaneka di kawasan majoriti Melayu Islam ini ada beragama Islam.
"Apakah niat pendirian seorang menteri DAP ini ingin mereka juga terlibat dalam transaksi jual-beli kepada orang-orang Islam?
"Kalau tak ada niat, untuk nak, mengganggu gugat akhidah umat Islam," dakwanya.
'Jangan gurau'
Selain itu, Awang turut merujuk kepada seorang menteri DAP yang didakwa memperlekehkan Islam dengan menjadikan solat hajat sebagai bahan jenaka.
"Adakah dia tahu bagaimana menunaikan solat hajat? Adakah dia tahu cara mengambil wuduk? Berapa rakaat solat hajat? Apa yang perlu dibaca?
"Jangan bergurau kalau tidak tahu. Kita menegur perkara ini untuk menggalakkan keharmonian," ujarnya.

Walaupun Awang tidak menyebut nama individu yang dimaksudkan, dipercayai dia merujuk kepada Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.
Satu video TikTok dimuat naik akaun ‘demirakyatchannel’ pada 22 Januari menunjukkan Nga berkata dia akan "berdoa” dan “membuat solat hajat" memohon supaya mempercepatkan penghantaran helikopter baru untuk bomba.
Pada 26 Januari pula, Nga memberi jaminan tiada perubahan akan dilakukan terhadap peraturan sedia ada berkaitan penjualan arak.
Kenyataan itu dibuat susulan laporan Datuk Bandar Ipoh, Rumaizi Baharin mencadangkan supaya MBI mempertimbangkan larangan lebih meluas ke atas penjualan minuman beralkohol di kawasan majoriti Muslim.
Dalam perkembangan berkaitan, Awang hari ini menegaskan pihaknya bertolak ansur dan tidak pernah mencampuri urusan agama bukan Islam.
"Justeru, kerajaan mesti bertindak segera kerana rakyat sedang menunggu penyelesaian yang jelas, adil, dan berkesan," katanya.