Seorang pegawai SPRM yang memberi keterangan bagi pihak pembelaan Najib Razak menafikan bahawa kenaikan pangkatnya yang dianggap pantas itu adalah disebabkan bekas perdana menteri berkenaan.
Saksi pembelaan Fikri Ab Rahim memberitahu Mahkamah Tinggi di Putrajaya hari ini bahawa kenaikan pangkatnya ke Jusa-C pada 2017 adalah disebabkan penilaian SPRM terhadap prestasinya.
Semasa perbicaraan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram 1MDB bernilai RM2.27 bilion hari ini terhadap Najib, Fikri menolak tanggapan pihak pendakwaan berhubung kenaikan pangkatnya di suruhanjaya antirasuah itu sejak menyertainya pada 2004.
Semasa pemeriksaan balas oleh peguam bela Muhammad Shafee Abdullah, Fikri menafikan tanggapan pihak pendakwaan di sebalik penglibatannya dalam lawatan ke Arab Saudi pada November 2015 melibatkan beberapa pegawai SPRM dan Jabatan Peguam Negara (AGC).
Kunjungan itu adalah untuk memastikan kesahihan di sebalik empat surat derma Arab yang didakwa menyokong dakwaan perdana menteri Najib ketika itu bahawa kerabat raja Timur Tengah menjanjikannya derma.
Shafee: Pendakwa raya membangkitkan dakwaan tentang kenaikan pangkat anda.
Fikri: Saya tidak bersetuju kerana kenaikan pangkat saya ditentukan oleh SPRM dan (ketua pesuruhjayanya ketika itu) Abu Kassim (Mohamed).
Semasa siasatan (1MDB pada 2015), saya berada di Gred 54, dari Gred 41 (terus) hingga 54 adalah pantas, tetapi ia tidak terus ke Jusa-C. Pada tahun 2017 barulah saya dinaikkan pangkat ke Jusa-C.
Saya tidak melihat Najib memainkan peranan dalam kenaikan pangkat saya, hanya SPRM dan Abu Kassim yang terlibat dalam kenaikan pangkat saya.
Dalam perkhidmatan awam, kenaikan pangkat daripada Gred 41 kepada 54 bermaksud melangkau empat gred, dan difahamkan kenaikan lanjut ke Jusa-C lazimnya disebabkan prestasi cemerlang.
Fikri menjadi saksi semasa perbicaraan berasingan RM42 juta rasuah SRC terhadap Najib.
Tertuduh merupakan perdana menteri dari 2009 hingga 2018. Perkhidmatan Abu Kassim tamat pada Ogos 2016.
Semasa perbicaraan 1MDB pada Khamis minggu lalu, timbalan pendakwa raya (DPP) Ahmad Akram Gharib menyoal balas Fikri mengenai cara dia menjalankan siasatan terhadap empat surat Arab yang dikatakan semasa berada di Riyadh pada 2015.
DPP mempersoalkan bagaimana Fikri menjalankan siasatan apabila pegawai SPRM cuba mengesahkan kesahihan surat-surat Arab yang didakwa dengan bertemu putera Arab yang dikatakan menandatangani dokumen itu.
DPP juga berhujah bahawa Fikri menambah keterangannya dalam perbicaraan 1MDB berbanding keterangan lepasnya dalam perbicaraan SRC, tapi saksi pembelaan itu tidak bersetuju dengna tanggapan berkenaan.
Fikri sebelum ini memberi keterangan bahawa pegawai penyiasat dan pegawai perakam SPRM mengambil kenyataan peguam yang bertindak bagi pihak putera Arab yang didakwa itu, dan bukannya secara langsung mengambil kenyataan kerabat raja itu sendiri.
Dia juga sebelum ini memberi keterangan ia disebabkan putera Arab itu dilindungi oleh imuniti diplomatik.
Pembelaan Najib ialah dia tidak terlibat mahupun mempunyai pengetahuan tentang salah laku di 1MDB, dan penyelewengan dana 1MDB didalangi semata-mata oleh ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho (Jho Low) dan ahli pengurusan yang lain.
Bekas menteri kewangan itu juga menegaskan bahawa dia percaya wang yang mengalir masuk dan keluar dari akaun bank Malaysianya adalah derma menurut janji pada 2010 oleh raja Arab Saudi, Raja Abdullah. Raja Abdullah meninggal dunia pada 2015 selepas sedekad memerintah.
Pada 30 Okt, mahkamah jenayah memerintahkan Najib membela diri atas empat salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM2.27 bilion daripada 1MDB.
Hakim Collin Lawrence Sequerah memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie (boleh bertanggungjawab) terhadap Najib kerana kekuatan kira-kira 50 keterangan saksi.
Antara awal Disember tahun lalu dan akhir Januari tahun ini, Najib menghabiskan 26 hari di kandang saksi cuba menimbulkan keraguan munasabah dalam kes pendakwaan.
Tertuduh telah menjalani hukuman penjara enam tahun sejak Ogos 2022 berhubung kes rasuah membabitkan RM42 juta daripada SRC, bekas anak syarikat 1MDB.

