Isam Mohd Isa dari Umno (BN-Tampin) mengkritik garis panduan yang dicadangkan baru-baru ini untuk orang Islam menghadiri acara bukan Islam.
Dalam ucapannya membahaskan titah diraja, dia memberitahu Dewan Rakyat bahawa keharmonian negara tidak menjadi masalah sebelum ini.
"Adakah selama ini masyarakat di Malaysia telah hidup dalam keadaan yang tak harmoni? Perkara sebegini tak pernah timbul sebelum ini, mengapa sekarang?" katanya.
Seorang ahli parlimen pembangkang yang tidak dapat dikenal pasti kemudiannya mencelah Isam, secara mengejek bertanya parti yang dianggotainya.
"Saya masih bersama Umno, bukan UM-DAP," sindir Mohd Isam sebagai jawapan.
UM-DAP adalah istilah yang digunakan untuk menyindir Umno selepas parti itu bersekutu dengan DAP.
Mengulas lanjut, Isam berkata Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan adalah sebab keamanan negara dan mengulangi pendirian Umno untuk mempertahankannya.
Perkara 3 menyatakan bahawa Islam adalah agama persekutuan tetapi agama lain boleh diamalkan dengan bebas.
Minggu lalu, Mufti Terengganu Sabri Haron berkata bahawa cadangan garis panduan itu, yang sudah ditolak kabinet, adalah penting untuk menjaga keharmonian negara.
Isu itu timbul pada 4 Feb, apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Na’im Mokhtar dalam jawapan bertulis parlimen berkata kerajaan bercadang untuk memperkenalkan garis panduan baru bagi acara bukan Islam yang dihadiri tetamu Islam.
Garis panduan yang dicadangkan termasuk mewajibkan penganjur acara mendapatkan kelulusan daripada pihak berkuasa agama jika umat Islam hadir dan memastikan acara tidak mengandungi unsur-unsur yang boleh menyinggung sensitiviti umat Islam.
Tetapi pada 7 Feb, kabinet memutuskan bahawa garis panduan itu tidak perlu, dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata bahawa orang Islam tahu batas mereka.
Sehari kemudian, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah turut menyatakan ketidaksetujuan baginda terhadap garis panduan tersebut.
Baginda bertegas, Islam melalui Al-Quran, Sunnah dan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah yang diikuti umat Islam di Malaysia sentiasa memberikan panduan terbaik.

