Anwar Bapa Pembebasan Perasuah!
Demikian satu plakad yang diangkat semasa Demonstrasi Rakyat Benci Rasuah anjuran Sekretariat Rakyat Benci Rasuah pada 25 Januari yang lepas. Demonstrasi ini yang dipimpin oleh barisan anak muda dan gerakan mahasiswa menghimpunkan kurang lebih 200-300 orang.
Plakad ini telah mengundang reaksi yang pelbagai, namun ketaranya sudah tentu ada yang tidak bersetuju dengan kenyataan tersebut, ada yang mengiyakan serta ada juga yang masih mencongak tindakan-tindakan Anwar dan kerajaan Madani untuk membanteras rasuah kalau tidak pun untuk menoktahkan barah yang mencengkam negara sekian lama.
Saudara Syukri Razab, dahulunya aktivis mahasiswa, pernah menjadi Pengerusi Majlis Politik Nasional Gamis dan juga Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) - kini adalah Pegawai Khas kepada Menteri Ekonomi YB Rafizi Ramli - terus menyanggah penyataan di plakad tersebut dan mencabar pihak penganjur untuk berdebat.
Debat itu disahut oleh saudara Hamdin, Penyelaras Mandiri yang merupakan sebuah gerakan sosial yang baru dan menjadi antara penggerak himpunan Rakyat Benci Rasuah bagi membuktikan bahawasanya Anwar tidak mengotakan janji dan idealisme yang beliau canangkan selama ini bagi membanteras korupsi dan rasuah di Malaysia.
Debat dengan mauduk ‘Anwar Bapa Pembebasan Perasuah?’ ini menarik kerana mewakili dua generasi gerakan mahasiswa.
Satu generasi, yang diwakili oleh Syukri Razab, yang tidak asing lagi menggerakkan demonstrasi-demonstrasi di ibu kota Kuala Lumpur sehingga ke Labuan sekitar tahun 2009-2012. Generasi baru gerakan mahasiswa pula dipimpin oleh Saudara Hamdin yang menggerakkan Demonstrasi Air Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada Jun 2024 dan kemudiannya Himpunan Benci Rasuah di Sabah pasca pendedahan skandal rasuah yang melibatkan Adun-Adun Sabah termasuk Ketua Menteri Sabah sendiri. Himpunan tersebut berlangsung di ambang tahun baru 2025.

Lebih menarik lagi kedua mereka pernah belajar di UMS. Nampaknya mahasiswa di Sabah sedang melakar peta gerakan anak muda di Malaysia.
SPRM, AG tidak bebas?
Namun persoalan besar yang masih belum tuntas selepas debat ini adalah, apa yang perlu dibuat untuk memastikan perlawanan menentang korupsi dan rasuah terus disemarakkan? Walaupun ada sebahagiannya diangkat dalam tuntutan himpunan tersebut, namun hal ini tidak diperbincangkan secara meluas. Malah mungkin hampir tercicir pula dari menjadi sorotan utama.
Umum maklum bahawa agensi-agensi penguatkuasaan di dalam negara boleh menjadi senjata untuk menjatuhkan lawan politik. Ini tidak asing dalam perjalanan politik negara. Bahkan Anwar Ibrahim sendiri pernah menjadi mangsanya dan sekarang kita menuntut agar peristiwa itu tidak berulang kembali. Kita juga mempunyai pengalaman sebuah GLIC negara ditunggang untuk kepentingan parti politik dalam skandal SRC dan 1MDB yang merugikan biliun ringgit duit negara sehingga Peguam Negara (AG) yang membuka kertas siasatan skandal ini ditamatkan perkhidmatannya selepas itu.
Reformasi 100 peratus
Setiap kali apabila ada ahli politik pembangkang yang disiasat atau didakwa untuk isu rasuah dan salah guna kuasa, kita akan mendengar suara bahawa ahli politik ini didakwa secara salah, konspirasi politik dan sebagainya yang menunjukkan bahawa institusi seperti SPRM dan jawatan seperti AG digunakan oleh eksekutif kerajaan bagi melemahkan lawan politik mereka.
Selalunya suara ini adalah mereka yang kena siasat. Ketika zaman BN, PH mengatakan ini adalah untuk melemahkan pembangkang. Ketika zaman PH-BN, PN pula mengujar bahawa ini adalah akibat dendam untuk ‘witch hunt’ pembangkang.

Oleh sebab itu, gerakan masyarakat sivil (CSO) seperti Bersih, Ideas, C4 dan lain-lain menggesa supaya satu reformasi menyeluruh dilaksanakan oleh kerajaan agar rakyat dapat melihat bahawa institusi/agensi utama seperti AGC dan SPRM dibebaskan daripada cengkaman Eksekutif, terutamanya Perdana Menteri (PM). Terutama dari segi bagaimana AG atau Ketua SPRM dilantik.
Hal ini kerana perdana menteri yang mempunyai kuasa untuk melantik AG dan Ketua SPRM. Lantikan ini, jika diletakkan individu yang ‘betul’ namun masih berpotensi besar untuk dilihat sebagai ‘lantikan politik’ dan akan bertindak mengikut ‘arahan’ daripada kerajaan atau PM, walau seringkali dinafikan oleh mereka.
Hal ini bagi membuka ruang bahawa SPRM atau AG bukanlah sepenuhnya mempunyai kebebasan untuk menyiasat dan mendakwa sesiapa sahaja yang bertindak melangkau undang-undang.
Pisahkan peranan AG dan pendakwa raya
Bersih umpamanya, berulang kali mendesak agar disegerakan pemisahan peranan AG dan pendakwa raya. Biarlah AG berperanan sebagai penasihat undang-undang kepada PM dan kerajaan, selain membantu draf perundangan dan mewakili kerajaan dalam kes-kes melibatkan undang-undang.
Dengan itu, AG boleh dilantik oleh PM dengan adanya pandangan daripada jawatankuasa parlimen yang berkaitan dan disahkan oleh jawatankuasa tersebut. Malah AG juga boleh berperanan sebagai menteri undang-undang sekiranya individu yang dirasakan sesuai itu adalah seorang ahli Dewan Rakyat.
Peranan pendakwa raya yang tugasnya untuk mendakwa kes-kes jenayah, perlu dijawat oleh individu lain. Pendakwa raya ini perlu dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dengan nasihat daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Perundangan (Legal Service Commission - LSC) agar tidak ada campur tangan daripada pihak eksekutif.

Malah, sebelum dilantik sebagai pendakwa raya, parlimen boleh meminta PM untuk menghantar nama untuk disemak oleh Jawatankuasa Parlimen sebelum PM memberi nasihat kepada YDPA untuk dilantik.
Kini prosesnya sudah berlangsung, namun kita masih belum pasti adakah rang undang-undang bagi pemisahan AG dan pendakwa raya ini akan sempat dibentangkan sebelum habis penggal ini? Belum ada kepastian daripada kerajaan atau Anwar sendiri.
Yang ada hanyalah jawatankuasa yang sedang mengkaji dan akan membentang laporan ini kepada jemaah menteri untuk pertimbangan pada tahun ini juga. Kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, M. Kulasegaran, mereka perlu mendapatkan pandangan daripada pelbagai pihak.
Menurut Tommy Thomas, mantan AG zaman PH1.0, beliau mengatakan bahawa 1,200 pegawai AGC telah bersetuju untuk pemisahan peranan AG dan pendakwa raya. Beliau sebutkan ini di dalam buku My Story: Justice in The Wilderness. Ini jelas bahawa terdapat keperluan dan desakan daripada dalam AGC sendiri untuk memisahkan kedua-dua jawatan penting ini.
Bebaskan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
SPRM, satu-satunya badan untuk membanteras rasuah di Malaysia juga harus dibebaskan. Ini juga maha penting sekali. Azam Baki, yang kini disambung kontraknya pernah dituduh sebagai tidak bebas apabila beliau menyiasat beberapa pemimpin PH ketika zaman Kerajaan Keluarga Malaysia.
Antaranya yang disiasat adalah Rafizi Ramli dan Invoke apabila beliau mendedahkan skandal Kapal LCS. Beliau mempersoalkan tindakan SPRM di bawah Azam Baki yang menyiasat beliau berbanding menyiasat skandal yang didedahkan.

Selain itu, semasa hangat isu Azam Baki memiliki saham di beberapa syarikat, Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Mengenai Kewangan dan Ekonomi juga telah memanggil beliau untuk hadir di dalam mesyuarat jawatankuasa tersebut bagi memberi penjelasan terhadap isu itu. Namun malangnya Azam Baki yang enggan hadir di dalam mesyuarat tersebut dan kemungkinan itulah alasannya mesyuarat itu ditangguhkan.
Isu ini jelas menunjukkan bahawa wujud kelompangan di dalam sistem kita untuk memastikan adanya akauntabiliti badan untuk mencegah rasuah ini. Sehingga peringkat jawatankuasa parlimen panggil untuk meminta penjelasan juga boleh tidak diendahkan. Maka sebab itulah, proses pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM, dan pegawai yang lain perlu direformasi, perlu dibebaskan dan melalui proses yang lebih telus berbanding hanya bergantung kepada nasihat PM yang dipersembahkan kepada YDPA.
Bersih sebelum ini mengusulkan agar satu suruhanjaya perkhidmatan baru dibentuk dan diberi kuasa untuk melantik Ketua Pesuruhjaya SPRM dan pegawai-pegawai lain.
Suruhanjaya ini akan terdiri daripada mantan hakim mahkamah persekutuan, mahkamah rayuan atau mahkamah tinggi dan ahli-ahli lain boleh dilantik oleh YDPA berdasarkan nasihat daripada PM. Bagi memastikan nama-nama yang dicadangkan oleh PM kepada YDPA untuk dilantik adalah benar-benar layak, adil dan berkredibiliti, satu jawatankuasa bersama Dewan Rakyat dan Dewan Negara perlu dibentuk untuk mengesahkan nama-nama yang dicadangkan oleh PM tadi.
Menebus reformasi
Kes-kes yang telah ‘dikurniakan’ DNAA, pelantikan mereka yang di suatu masa dahulu dijaja dalam kempen-kempen pilihan raya sebagai koruptor, salah guna kuasa dan rasuah, yang kini diangkat semula ke jawatan-jawatan penting perlu ditebus semula oleh kerajaan Madani di bawah pimpinan Anwar Ibrahim sebagai PMX.
Kerajaan ini tidak lagi boleh berdolak dalik dalam pelaksanaan reformasi terutama bagi mengembalikan keyakinan kita semua kepada institusi-institusi keadilan ini. Reformasi sekarang! Reformasi 100 peratus!
ASRAF SHARAFI ialah seorang yang percaya kepada pilihan raya yang bersih dan adil untuk membentuk demokrasi yang memberi makna kepada semua rakyat dan membela golongan yang tertindas.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

