malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Salah kuda: K'jaan PH buat saya terlampau harapkan SPRM - pemimpin Warisan
Diterbitkan:  Feb 17, 2025 8:00 PM
Dikemaskini: 12:00 PM
ADS

Timbalan Presiden Warisan, Darell Leiking, mengakui keyakinannya yang terlalu tinggi terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berpunca daripada kepercayaannya terhadap prinsip reformasi kerajaan PH.

Namun, katanya, dia kini telah belajar daripada kesilapan tersebut.

"Touche (awak betul), Encik Arutchelvan. Saya akui saya terlalu yakin dengan SPRM dan telah bertaruh pada ‘kuda yang salah’," katanya.

Darell mengulas sindiran Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM) S Arutchelvan (gambar bawah), berhubung keyakinannya terhadap suruhanjaya itu.

ADS

"Saya mengaku bahawa saya terlalu yakin dan ‘terlampau ada Harapan kepada SPRM' untuk menguatkuasakan undang-undang dan membawa keadilan kepada rakyat Sabah serta seluruh rakyat Malaysia," tambahnya dalam satu hantaran di Facebook.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Moyog itu berseloroh bahawa dia bernasib baik kerana pertaruhannya hanya melibatkan Kon Lou Mee dan Ngiu Chap Penampang (hidangan mi terkenal di Sabah).

"Percayalah, saya sudah belajar daripada kesilapan," katanya, mengakui dia kalah bertaruh dengan mereka yang mengejek keyakinannya bahawa SPRM, di bawah kerajaan reformis akan mengambil tindakan terhadap skandal Sabah.

Arutchelvan: Patut dia dah tahu

Terdahulu, Arutchelvan memberitahu Malaysiakini Darell wajar tahu apa yang patut dipertaruhkannya dalam kes sebegitu.

"Dia sepatutnya tahu mahu bertaruh apa berbanding memilih sesuatu yang mempunyai kemungkinan satu dalam sejuta untuk menang," katanya berseloroh.

Arutchelvan berkata jika pertaruhan Darell itu diumpamakan seperti perlumbaan kuda, bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri berkenaan bolehlah dianggap memilih kuda yang tersangkut di tempat permulaan sejak beberapa dekad lampau.

"Kuda itu hanya menerpa ke depan dengan kelajuan sangat pantas apabila ada ahli politik bukan kerajaan yang terlibat," katanya lagi secara sinis.

Kenyataan Arutchelvan itu selepas pagi tadi Malaysiakini melaporkan 'kekecewaan' Darell apabila dia kalah bertaruh dengan kawannya berhubung kemungkinan langkah yang diambil SPRM terhadap dakwaan skandal rasuah melibatkan lesen cari gali bahan mineral serta beberapa Adun Sabah.

Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki berkata video berkaitan skandal Sabah tidak boleh digunakan kerana ia telah "diedit".

Susulan kenyataan itu, peguam kanan Shafee Abdullah menggesa Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor dan Adun yang terlibat supaya membuat laporan polis terhadap anak guamnya berkaitan video tersebut.

Shafee mewakili pemberi maklumat yang mendedahkan video tersebut, yang didakwa mengandungi perbincangan mengenai rasuah kepada beberapa Adun sebagai pertukaran untuk lesen penerokaan mineral.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen