Tan Khong Chong, pembantu khas kepada Pengerusi DAP, Lim Guan Eng memohon maaf atas perbuatannya terhadap Pengerusi DAP Pulau Pinang, Steven Sim pada satu majlis Sabtu lalu.
"Saya menyesali apa yang telah saya lakukan dan bertanggungjawab sepenuhnya atas tindakan saya," katanya pada satu kenyataan hari ini.
Steven Sim pada kenyataan berasingan pula menganggap kejadian itu isu kecil dan menegaskan tidak mahu memanjangkan isu yang tidak memberi manfaat kepada parti.
"Ketika saya dilantik sebagai pengerusi DAP Pulau Pinang, saya menjadikan perpaduan parti sebagai teras usaha kami untuk memberikan perkhidmatan lebih baik kepada rakyat Pulau Pinang.

"Oleh itu, saya tidak mahu memanjangkan isu yang tidak membawa manfaat kepada parti.
“Saya ingin menekankan sekali lagi bahawa ini hanyalah ribut dalam cawan teh. Mari kita teruskan dan maju bersama dengan lebih kuat," katanya dalam satu hantaran di Facebook petang ini.
Tegas Sim, apa yang lebih penting majlis makan malam bagi menghargai jasa veteran DAP, Lim Kit Siang berjalan dengan lancar dalam suasana yang penuh kegembiraan.
"Perkara lain tidak penting," katanya.
Tan ahli setia DAP
Sim juga berkata dia sudah lama mengenali Tan dan menyifatkannya sebagai seorang ahli parti yang setia.
Kejadian itu berlaku selepas majlis makan malam bagi meraikan ulang tahun ke-84 Kit Siang serta penganugerahan Darjah Utama Pangkuan Negeri (DUPN) oleh Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang kepadanya.

Tan bertindak menyerang Sim secara lisan selepas majlis tersebut, dengan menjerit dan mencacinya.
Tan berulang kali menggelar Sim sebagai "Fan Gu Zai" (pengkhianat) selama hampir 10 saat dan menuduhnya cuba melemahkan "bos" (Guan Eng).
Namun, Sim kelihatan tenang sepanjang insiden itu, tidak membalas atau berkonfrontasi dengan Tan, sebaliknya tersenyum dan terus menyantuni tetamu lain pada majlis makan malam tersebut.
Kejadian ini berlaku pada hari sama Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menolak dakwaan terdapat perpecahan dalaman dalam parti.